MAHKAMAH Agung Mexico memutuskan pada Selasa yang mangsa rogol berumur antara 12 hingga 17 tahun mesti dibenarkan menggugurkan kandungan tanpa kebenaran ibu bapa.
Hakim mengisytiharkan peraturan itu berperlembagaan, menolak cabaran undang-undang difailkan oleh pihak berkuasa dua negeri di negara itu.
“Dalam kes rogol, tiada gadis boleh dipaksa untuk menjadi ibu, baik oleh kerajaan mahupun oleh ibu bapa atau penjaganya,” kata Presiden Mahkamah Agung Arturo Zaldivar semasa perbicaraan.
Peraturan itu, yang diterima pakai pada 2009, memerlukan hospital awam melakukan pengguguran kepada mangsa rogol yang memintanya dan memberitahu kebenaran tentang keadaan, tanpa memerlukan perintah mahkamah.
Kebenaran ibu bapa diperlukan dalam kes kanak-kanak perempuan di bawah umur 12 tahun.
Negeri yang mencabar peraturan, Baja California dan Aguascalientes, berhujah ia melanggar bidang kuasa jenayah serta hak ibu bapa.
Tetapi Zaldivar berkata peraturan itu memastikan “tindak balas yang cepat dan berkesan” untuk menjamin hak wanita.
“Memaksa wanita atau kanak-kanak perempuan meneruskan kandungan akibat rogol sama seperti tidak menghiraukan maruah mereka… selain menjadi mangsa lagi dan satu bentuk keganasan jantina,” katanya.
Mahkamah Agung Mexico mengeluarkan beberapa keputusan yang menyokong pengguguran secara sah.
Pada September 2021 ia mengisytiharkan undang-undang yang menjadikan prosedur itu jenayah sebagai tidak berperlembagaan, membenarkannya secara de facto di seluruh negara Amerika Latin yang konservatif.
Lapan daripada 32 negeri Mexico menghapuskan jenayah pengguguran, bermula dengan Mexico City pada 2007 dan, yang terbaru, Guerrero, salah satu wilayah termiskin di negara itu, bulan ini. – AFP, 25 Mei, 2022.
Komen