22 tahun bersama Bank Dunia, anak kelahiran estet kembali menyumbang bakti


Raevathi Supramaniam

Nagavalli Annamalai mengambil keputusan bersara awal bagi menjaga ibunya yang sudah tua. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

NAGAVALLI Annamalai, bekas ketua peguam Bank Dunia, diterima masuk menyertai Badan Peguam Malaysia pada Isnin, satu perjalanan panjang dari estet luar bandar di Perak ke Washington DC di Amerika Syarikat dan kembali ke Malaysia, dengan harapan untuk menyumbang kepada masyarakat.

Wania berusia 60 tahun itu memilih untuk bersara awal daripada Bank Dunia, dengan lokasi terakhirnya di Bangkok, dan kembali ke Malaysia pada 2020 untuk menjaga ibunya yang berusia 93 tahun.

Sebelum berkhidmat selama 22 tahun dengan Bank Dunia, yang kebanyakan masanya dihabiskan di Washington DC, beliau bekerja untuk Bank Negara Malaysia sebagai pegawai undang-undang tetapi tidak berpeluang melengkapkan sijil amalan guaman (CLP) kerana kekangan masa.

Apabila bersara, beliau mempunyai masa lapang yang mendorongnya untuk digunakan dengan baik bagi melengkapkan CLP.

Beliau diterima masuk Badan Peguam selepas menamatkan tempoh latihannya di May-Kamariah & Philip Koh, di bawah bimbingan Koh, yang merupakan bekas pensyarah undang-undangnya di Universiti Malaya (UM).

“Ketika itu (pada 2020) pandemik dan sekatan pergerakan dan saya fikir ia cara terbaik untuk menggunakan masa saya,” kata Annamalai kepada The Malaysian Insight.

“Saya menghubungi bekas pensyarah dan bertanya sama ada saya boleh menjadi peguam pelatih bersamanya.

“Saya tidak pernah mempunyai masa, ia adalah pengalaman yang sama sekali berbeza. Ia sentiasa berguna untuk melalui proses itu, diterima masuk ke dalam golong peguam yang sah.”

Annamalai berkata ini juga peluang yang baik untuk membiasakan dirinya dengan sistem perundangan Malaysia.

Anak ke-9 daripada 10 beradik, ibu bapa Annamalai adalah penoreh getah di Ladang Kalumpang di Tanjung Malim, Perak.

Selain beliau, hanya adik lelakinya yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi manakala adik-beradik yang lain hanya belajar setakat Tingkatan 3.

Annamalai menyifatkan pendidikan dan kejayaan profesional dimilikinya mampu diperoleh kerana beliau berpeluang berpindah dari ladang ke persekitaran lebih baik di bandar semasa awal pembentukan dirinya.

Beliau dapat bersekolah di Raub, Pahang selama dua tahun apabila ibu menghantarnya tinggal bersama kakaknya yang baru berkahwin.

Ketika Tingkatan 1, beliau bersekolah di Petaling Garden Girl School sebelum ditukarkan kepada Sekolah Inggeris Methodist di Tanjung Malim bagi menamatkan Tingkatan 2.

Dari situ, beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Perempuan Sri Aman di mana beliau menamatkan pendidikan sekolah menengahnya. – 25 Mei, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen