MEDIA Turki melaporkan mahkamah negara itu hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap tiga wartawan terkemuka atas dakwaan mempunyai hubungan dengan kumpulan yang dipersalahkan atas cubaan rampasan kuasa yang gagal pada 2016.
Agensi berita Anadolu berkata wartawan dan penulis Nazli Ilicak dan dua beradik, Mehmet dan Ahmet Altan, dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak Gullen, pimpinan Fethullah Gullen.
Hukuman sama turut dikenakan terhadap tiga suspek lain.
Gullen menafikan terlibat dengan cubaan rampasan kuasa itu.
Ilicak, 73, merupakan salah seorang wartawan pertama ditahan pada Julai lalu berikutan cubaan rampasan itu. Menjadi ahli parlimen pada 1999, dia juga menulis untuk beberapa akhbar, termasuk Hurriyet.
Ahmet, 67, seorang penulis novel dan wartawan yang menulis untuk beberapa akhbar terkemuka di Turki, termasuk Hurriyet dan Milliyet serta mengasaskan akhbar pembangkang, Taraf yang sudah ditutup.
Sementara Mehmet, 65, telah menulis buku-buku mengenai politik Turki.
kedua-dua beradik - Ahmet dan Mehmet - ditahan pada September, di mana Ahmet dibebaskan pada pertengahan September, tetapi ditahan semula.
Dalam kes yang sama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap bekas pengurus pemasaran akhbar Zaman, iaitu Zaman Yakup Simsek; pengajar akademi polis, Sukru Tugrul Ozsengul dan pereka letak akhbar Zaman, Fevzi Yazici.
Bulan lalu, Mahkamah Perlembagaan memerintahkan Mehmet dibebaskan, namun keputusan itu tidak dilaksanakan oleh mahkamah jenayah.
Kegagalan membebaskan Mehmet dan penulis, Sahin Alpay - yang sedang dibicarakan dalam kes berasingan - mencetuskan ketegangan terhadap kedaulatan undang-undang di Turki.
Mahkamah Perlembagaan yang berpangkalan di Ankara memutuskan Mehmet dan Ahmet harus dibebaskan atas alasan hak-hak mereka telah diceroboh.
Namun, mahkamah jenayah Istanbul enggan melaksanakan arahan tersebut, dengan mengatakan yang ia tidak disampaikan dengan betul, melalui cara yang mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan politik. – AFP, 16 Februari, 2018.
Komen