Kes HFMD melonjak, tadika lebih waspada


Angie Tan

Menurut Kementerian Kesihatan, rekod Malaysia sebanyak 31,661 kes HFMD ini adalah 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

PENYAKIT tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang mula merebak dalam kalangan kanak-kanak mencetuskan kebimbangan baharu kepada ibu bapa yang menghantar anak ke tadika.

Kementerian Kesihatan (KKM) minggu lalu berkata Malaysia merekodkan 31,661 kes HFMD, iaitu 15 kali lebih tinggi daripada direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Presiden Persatuan guru Tadika Malaysia Sally Ng memberitahu The Malaysian Insight, sebelum pandemik Covid-19, HFMD adalah sumber utama penyakit berjangkit.

“Sebelum ini kerana Covid-19, kanak-kanak kurang ada kontak. Tetapi sekang keadaan sudah terbuka, banyak faktor jadi punca wabak HFMD,” katanya.

Ng berkata tadika kini dalam keadaan berjaga-jaga. Sebagai tambahan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, katanya langkah lain turut diambil.

“Memakai pelitup muka dan membasuh tangan adalah SOP biasa. Guru kini akan perlu mengambil suhu kanak-kanak dan memeriksa kalau-kalau ada lepuh atau ruam kulit di badan mereka.

“Meja, kerusi dan permainan perlu selalu disanitasi dan kanak-kanak tidak dibenarkan berkongsi peralatan.”

Ng berkata selagi tadika mematuhi SOP, jangkitan HFMC boleh dihentikan.

Ibu bapa juga perlu bertanggungjawab dan tidak menghantar anak ke tadika jika mengesyaki anak mereka mengalami HFMD, katanya.

“Apa pun gejala dialami anak, ibu bapa perlu bawa anak ke hospital supaya ia tidak berjangkit dengan kanak-kanak lain.

“Jika tadika terpaksa ditutup kerana berlaku wabak dan jangkitan sementara ekonomi sudah dibuka semula, ia akan menyusahkan orang ramai.”

HFMD sering berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak bawah lima tahun. Antara gejalanya ialah demam, sakit tekak, ruam yang menyakitkan, merah dan pedih di lidah, gusi dan di bahagian dalam pipi serta bahagian badan yang lain. – 26 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen