Vaksin Covid-19 selamat bagi kanak-kanak bawah 5 tahun, kata Pfizer


Melalui ujian klinikal terbaharu, Pfizer-Biontech mendapati tiga dos vaksin memberi tindak balas imun yang kuat kepada kanak-kanak berumur enam bulan hingga empat tahun. – Gambar AFP, 24 Mei, 2022.

PFIZER dan BioNTech berkata vaksin Covid-19 yang dihasilkan dua firma itu selamat dan berkesan bagi kanak-kanak berumur bawah lima tahun, iaitu sebanyak tiga dos.

Pengumuman itu dibuat ketika Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dijadual bermesyuarat dalam beberapa minggu akan datang bagi membincangkan perkara tersebut.

Melalui ujian klinikal terbaharu Pfizer-Biontech mendapati tiga dos vaksin sebanyak tiga mikrogram memberi tindak balas imun yang kuat kepada kanak-kanak berumur enam bulan hingga empat tahun.

Keberkesanan vaksin bagi tiga dos vaksin adalah pada kadar 80.3%, menurut laporan dikeluarkan syarikat terbabit.

“Kami berbesar hati memaklumkan formulasi kami bagi kanak-kanak paling muda telah menghasilkan tindak balas imun yang kuat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla dalam kenyataan.

“Kami akan segera melengkapkan permohonan kepada pihak kawal selia global dengan harapan vaksin ini tersedia secepat mungkin.”

FDA dijadual bermesyuarat pada Jun bagi memutuskan sama ada untuk membenarkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer diberi kepada kanak-kanak bawah lima tahun manakala vaksin Moderna bagi bawah enam tahun. – AFP, 24 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen