Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam berkata pendakwah Indonesia Ustaz Abdul Somad Batubara berada dalam pemerhatian pihak berkuasa Singapura sejak sekian lama, kerana telah mempengaruhi dan menyebarkan fahaman radikal, lapor The Strait Times.
Menurutnya antara yang terpengaruh adalah seorang remaja berusia 17 tahun yang percaya pengeboman berani mati sebagai perbuatan syahid dan telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada Januari 2020,
Beliau berkata remaja terbabit menonton ceramah Somad di YouTube dan mula percaya bahawa berjuang untuk kumpulan militan Negara Islam dan mati sebagai pengebom berani mati akan mendapat ganjaran di syurga.
“Jadi, anda boleh melihat dakwah Somad membawa akibat di dunia sebenar,” kata Shanmugam.
Pada 16 Mei lalu, Abdul Somad dilarang memasuki negara berkenaan kerana didakwa sebagai ‘pelampau dan pendukung dasar pemisahan’.
Abdul Somad yang tiba di republik itu dihantar pulang ke Batam, Indonesia, pada hari sama selepas tiba di Terminal Feri Tanah Merah.
Susulan tindakan Singapura itu, penyokong dalam talian Abdul Somad menghantar spam ke laman media sosial Presiden Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan beberapa pemegang jawatan dan agensi politik lain, meninggalkan hashtag seperti #SaveUstadzAbdulSomad. – 23 Mei, 2022.
Komen