Pesawat tentera AS angkut susu formula bayi


Pesawat kargo tentera AS berlepas dari pangkalan udara AS di Ramstein, Jerman membawa lebih 70,000 susu formula bayi terus ke Indiana. – Gambar AFP, 23 Mei, 2022.

SEBUAH pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) digunakan untuk membawa beberapa tan susu formula bayi dari Jerman, dan mendarat di lapangan terbang di Indiana semalam, dalam usaha pihak berkuasa menyelesaikan isu kekurangan produk itu.

Susu formula itu berkurangan di pasaran AS susulan masalah pengeluaran dan rantaian bekalan yang mencetuskan masalah dan panik bagi ribuan ibu bapa yang mempunyai bayi meminum susu jenis itu.

Pesawat kargo itu berlepas dari pangkalan udara AS di Ramstein, Jerman membawa lebih 70,000 susu formula berkenaan, kata White House.

Presiden Joe Biden turut menyatakan kebimbangannya berkenaan isu itu menerusi Twitter dari Jepun ketika menjalankan lawatan kerja selama lima hari.

“Pasukan kami bekerja keras untuk mendapatkan susu formula itu kepada semua yang memerlukan.

“Kita mendapatkan pesawat kedua untuk membawa susu khas dari Nestle itu terus ke Pennsylvania.

“Penerbangan dan proses pengangkutan akan mengambil masa beberapa hari, dan saya akan terus memberi perkembangan terkini kepada anda,” katanya.

Penghantaran pertama akan meliputi 15% permintaan segera bagi susu itu, kata penasihat ekonomi presiden Brian Deese.

Katanya, lebih banyak pesawat akan digunakan awal minggu ini, di mana pentadbiran Biden menggelarnya sebagai “Operasi Penerbangan Susu Formula”.

Bekalan susu itu dibawa masuk ke Indiana kerana di situ terletaknya hub Nestle, pengeluar domestik terbesar. Ia akan menjalani ujian kualiti di makmal berhampiran sebelum diedarkan. – AFP, 23 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen