Poland nyatakan sokongan kepada Ukraine


Presiden Poland Andrzej Duda dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengadakan sidang akhbar bersama di Kyiv, Ukraine semalam. – Gambar EPA, 23 Mei, 2022.

PRESIDEN Poland Andrzej Duda tegas menyatakan sokongan negaranya untuk membantu Ukraine ketika tentera Russia menyerang Kyiv, iaitu bandar barisan hadapan di timur, tanpa henti.

Duda dalam ucapannya di Kyiv berkata selepas Bucha, Borodianka dan Mariupol, kini tidak ada lagi urusan yang boleh dilakukan dengan Russia.

“Dunia yang jujur tidak boleh kembali seperti biasa dan melupakan jenayah, pencerobohan, hak asasi yang dimusnahkan,” katanya sambil merujuk kekejaman dilakukan Russia terhadap orang awam di bandar itu.

Lawatan Duda ke Kyiv perlu diberi perhatian kerana peranan besar dimainkan Poland dalam konflik itu, mengalu-alukan jutaan pelarian Ukraine ke negaranya dan menjadi titik transit untuk senjata Barat dan bantuan menuju ke Ukraine.

Sementara itu, Kyiv meneruskan serangan balas diplomatik, menyasarkan perhimpunan elit perniagaan dan politik dunia di pusat peranginan gunung Switzerland Davos, ketika negara Barat terus menyokong pertahanan Ukraine.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dijangka mengadakan persidangan video dengan perwakilan Davos pada hari ini untuk menandakan pembukaan Ukraine House Davos, sebuah forum untuk Kyiv dan penyokong antarabangsanya.

Duda menegaskan Poland dan Ukraine mempunyai masa depan bersama dalam Kesatuan Eropah (EU), tetapi sesetengah ahlinya bersikap mendiamkan diri.

Dalam perkembangan lain, perunding utama Russia dalam rundingan damai dengan Ukraine, Vladimir Medinsky, berkata Moscow bersedia untuk menyambung semula rundingan, tetapi keputusan itu kekal dengan Kyiv. – AFP, 23 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen