Kempen angkat Ku Li tunjuk Amanah berpecah, kata pemimpin Umno


Diyana Ibrahim

Usaha mengangkat Tengku Razaleigh Hamzah bagi menumbangkan PAS Kelantan menyerlahkan perpecahan dan ketandusan kepemimpinan Amanah, kata pemimpin Umno dan penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2022.

USAHA mengangkat Tengku Razaleigh Hamzah bagi menumbangkan PAS Kelantan menyerlahkan perpecahan dan ketandusan kepemimpinan Amanah, kata pemimpin Umno dan penganalisis.

Pemimpin parti Melayu itu juga melihat kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan ahli Parlimen Gua Musang tersebut akan berdepan masalah kerana Umno tetap menolak DAP.

Timbalan Ketua Bahagian Umno Kuala Krai Zaki Muhammad mendedahkan, ia sukar diterima walaupun ia dijalankan komponen PH, Amanah, bersama Tengku Razaleigh secara peribadi.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, kerjasama dengan PH dilihat bertentangan dengan prinsip Umno.

“Amanah memang dah lama minta untuk berjumpa dengan Umno Kelantan tapi kita difahamkan bahagian kepimpinan tertinggi melihat tidak ada keperluan untuk bekerjasama,” katanya.

Pemimpin PH mempertahankan usaha tersebut sebagai kerjasama peribadi veteran Umno itu, yang tidak mewakili partinya.

Bagaimanapun Umno tetap melihat Amanah sebagai klon DAP yang menjadi faktor utama gerakan itu akan ditolak, kata Zaki.

“Kita tak mahu dilihat berhubung dengan mereka kerana ia bercanggah dengan pendirian Umno untuk menolak kerjasama dengan DAP yang merupakan sebahagian daripada PH.

“Begitu juga dengan Amanah yang Umno anggap sebagai klon DAP, jadi saya rasa tak ke mana lah gerakan ini,” katanya.

Beliau juga melihat terdapat krisis dalam Amanah Kelantan sehingga menyebabkan pergerakan itu seolah-olah terdesak untuk menggerakkan kerjasama dengan Tengku Razaleigh.

Dakwanya, ia melibatkan pertembungan Muhammad Hussin yang kini pengerusi Amanah negeri dan juga bekas naib presiden parti, Husam Musa yang juga bekas exco Kelantan.

“Ia umpama talian hayat Muhammad sebab Amanah kini berpecah dua,” katanya.

Bagaimanapun Zaki berkata, Umno tidak keberatan untuk bekerjasama dalam platform badan bukan kerajaan (NG0) yang memperjuangkan isu di Kelantan.

Malah beliau mendedahkan pernah sepentas dalam program ceramah bersama Husam melalui platform NGO Save Kelantan.

“Jika dalam platform NGO, Umno terbuka kerana ia merentasi politik,” katanya.

NGO Save Kelantan itu mula dilancarkan Husam pada April, serentak dengan usaha pemimpin Amanah bersama Muhammad menemui Tengku Razaleigh.

Gerakan dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan itu dilaporkan bertujuan menumbangkan kerajaan PAS di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain Amanah gerakan tersebut turut melibatkan DAP, Pejuang dan Putra.

Mengulas perkembangan itu, Muhammad menjelaskan Tengku Razaleigh dipilih mengepalai gerakan itu kerana yakin pemimpin itu masih mempunyai kekuatan dan pengaruh kuat di Kelantan.

Muhammad berkata, tidak timbul isu Umno Kelantan menolak gerakan itu kerana Ku Li bergerak atas kapasiti sendiri.

“Gerakan ini masih berjalan dan Ku Li bersedia untuk gerakan di Kelantan. Kita percaya bila benda ini berlaku ada kesan baik.

“Ketika ini ia masih di peringkat awal tapi beliau sangat positif dan mampu menggerakkan gerakan tersebut.

“Ini bukan soal restu Umno atau tidak, kerana beliau sendiri kata bergerak sendiri dan tidak mewakili partinya,” katanya.

Ditanya adakah gerakan itu akan menamakan Ku Li sebagai menteri besarnya, jawabnya perkara itu masih belum dibangkitkan kerana masih di peringkat awal.

Selain itu Muhammad turut menolak dakwaan Amanah Kelantan kini berpecah dua kerana tidak sehaluan dengan Husam.

Walau begitu beliau mengakui tindakan Husam bergerak atas platform NGO Kelantan dilihat sedikit membelakangkan parti terutama apabila pemimpin itu ada mengkritik gerak kerja Amanah.

“Apa yang Husam sebutkan termasuk hendak menentang calon parti sendiri jika tidak menerima piagam Save Kelantan kita anggap ia bercanggah dengan dasar parti.

“Tapi kita tidak ada masalah dengan gerakan Save Kelantan beliau, cuma janganlah sampai nak melanggar parti,” katanya.

“Namun ia tidaklah keterlaluan sangat. Setakat ini kita masih lagi OK dengan gerakan Husam,” katanya.

Mengulas mengenai ketiadaan pemimpin PKR dalam gerakan itu, beliau berkata buat masa ini pergerakan dipimpin Anwar Ibrahim sedang menumpukan kepada pemilihan parti.

Kalangan veteran Amanah pula berharap gerakan bersama Ku Li dan Husam bergabung untuk sama-sama berusaha menjatuhkan PAS di Kelantan.

Bekas pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pengaruh kedua-duanya akan dapat menumbangkan kerajaan PAS yang sudah lebih 30 tahun bertapak di Kelantan.

Beliau melihat ia tidak mustahil berlaku kerana gelombang serupa yang timbul sewaktu pilihan raya negeri 1978 menyaksikan PAS tumbang selepas 18 tahun mentadbir.

Senario hampir sama juga berlaku ketika pilihan raya umum 1990 waktu Ku Li ketika itu menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Parti itu menyertai gabungan Angkatan Perpaduan Ummah bersama PAS dan Berjasa yang seterusnya berjaya mengalahkan Umno di Kelantan.

“Jadi gelombang politik berlaku pada tahun 1990-an dan 1978 itu mampu membawa rakyat Kelantan menolak kerajaan sedia ada.

“Gelombang yang sama boleh dicipta tidak mustahil kerajaan sedia ada boleh jadi. Pemimpin yang mencipta gelombang itu di Kelantan hanya Ku Li dan Husam.

“Ketokohan mereka sebenarnya tidak ada pada PAS dan tiada pada Umno,” katanya.

Tengku Razaleigh kemudian menyertai Umno semula pada 1996.

Namun penganalisis politik seperti Hisomuddin Bakar pula menyarankan pembangkang mengkaji semula langkah untuk mengangkat Ku Li mengetuai gerakan politik dalam PRU15.

Pengarah eksekutif badan kajian Ilham Centre berkata, usaha itu menunjukkan politik di Malaysia masih lagi bergantung kepada personaliti yang diharapkan mempunyai pengaruh diterima pengundi.

Katanya langkah itu juga berisiko memandangkan Ku Li tidak dilihat proaktif menjuarai isu rakyat Kelantan.

“Ku Li bukanlah pemimpin yang ke depan mengungkap permasalahan rakyat Kelantan. Pembangkang ini seperti ketandusan kontemporari atau calon semasa,” katanya.

Dalam erti kata lain, ia mengesahkan wujud masalah parti dalam PH kerana pembangkang sepatutnya mengiktiraf Husam yang dilihat lebih ke depan dalam isu rakyat, katanya.

“Tapi sebab politik dalaman mereka mengangkat individu lain. Perkara ini perlu dibuktikan secara empiris sama ada Ku Li layak memimpin Kelantan dan beliau perlu ke depan dalam membicarakan isu negeri.

“Usaha itu perlu dibuktikan dan kajian juga perlu dilakukan supaya penganalisis dan pemerhati boleh ukur tahap sokongan.

“Tapi kalau kajian dilakukan saya rasa sukar untuk dibuktikan peratusan rakyat menyokong Ku Li,” katanya. – 23 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen