BAKAL perdana menteri, Anthony Albanese berikrar menamatkan reputasi Australia sebagai negara ketinggalan dari segi perubahan iklim dan menetapkan semula hubungan dengan dunia luar.
Beliau berkata demikian selepas membentuk kerajaan yang tepat pada masanya sebelum sidang kemuncak utama di Tokyo.
Kemenangan pilihan raya ini menamatkan pemerintahan konservatif selama sedekad sekali gus menandakan era baharu politik Albanese yang lebih adil, lebih hijau dan kurang mendabik dada untuk Australia.
“Saya mahu mengubah negara,” kata pemimpin berusia 59 tahun itu. “Saya mahu mengubah cara berpolitik di negara ini.”
Masih tidak jelas sama ada Parti Buruh pimpinan Albanese mampu memenangi jumlah kerusi Parlimen yang mencukupi untuk membentuk sokongan majoriti atau sama ada beliau perlu bersama calon Bebas atau parti lebih kecil bagi mendapatkan sokongan.
Tetapi “Albo” dan menteri utama dijangka mengangkat sumpah pada Isnin untuk menghadiri sidang kemuncak dengan pemimpin Jepun, India dan Amerika Syarikat (AS) – yang dikenali sebagai Sidang Kemuncak Quad.
Albanese berkata sidang kemuncak itu adalah “keutamaan mutlak” untuk Australia dan peluang “untuk menghantar mesej kepada dunia”.
Beliau berkata rakan kongsi di luar negara boleh menjangkakan perubahan besar-besaran “terutamanya berkaitan perubahan iklim dan penglibatan kami dengan dunia dalam isu tersebut”.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, imej teruk hutan, bandar yang diselubungi asap dan kepupusan terumbu karang menjadikan Australia sebagai negara yang berdepan kemusnahan alam didorong perubahan iklim.
Di bawah kepimpinan konservatif, negara itu – sudah menjadi salah satu pengeksport gas dan arang batu terbesar di dunia – juga menjadi sinonim dengan memainkan halangan di perbincangan iklim antarabangsa.
Albanese berikrar meletakkan sasaran untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dan menjadikan benua itu sebagai kuasa besar tenaga yang boleh diperbaharui. – AFP, 22 Mei, 2022.
Komen