Shanghai buka semula sebahagian pengangkutan awam


Pembukaan semula sistem pengangkutan awam di Shanghai menandakan bandar tersebut beransur pulih selepas dua bulan dipisahkan daripada dunia luar. – Gambar EPA, 22 Mei, 2022.

SHANGHAI membuka semula sebahagian sistem pengangkutan awam dan menetapkan klasifikasi baharu untuk kawasan berisiko Covid-19, hari ini.

Pembukaan semula sistem pengangkutan awam itu menandakan bandar tersebut beransur pulih selepas dua bulan dipisahkan daripada dunia luar.

Bandar terbesar di China itu hampir ditutup sepenuhnya sejak April, apabila ia menjadi pusat penularan Covid-19 terburuk di negara itu sejak awal wabak itu dikesan.

Tidak seperti perbandaran ekonomi utama lain, Beijing menggunakan pendekatan sifar-Covid yang ketat bergantung pada menghapuskan kelompok apabila ia muncul, walaupun ini menjadi semakin sukar dengan penularan varian Omicron.

Bagaimanapun, apabila kadar jangkitan baharu semakin perlahan, Shanghai melonggarkan sekatan dengan berhati-hati, dengan beberapa kilang menyambung semula operasi dan penduduk di kawasan berisiko rendah dibenarkan untuk bergerak keluar.

Empat daripada 20 laluan kereta api bawah tanah di bandar itu dijadual memulakan semula perkhidmatan hari ini bersama pengangkutan darat lain dengan pegawai mengumumkan ia akan menyediakan “rangkaian asas yang meliputi semua kawasan bandar tengah”.

Mereka yang menaiki pengangkutan awam perlu menunjukkan keputusan negatif saringan Covid-19 dalam tempoh 48 jam perjalanan mereka dan mencatatkan “suhu normal”, tambah mereka pada Sabtu.

“Shanghai juga akan mengklasifikasikan kawasan sebagai berisiko tinggi, sederhana atau rendah selepas 31 Mei,” kata pegawai kesihatan Zhao Dandan pada sidang media, hari ini.

Zhao berkata Daerah dengan 10 atau lebih kes Covid yang dilaporkan – atau sekurang-kurangnya dua jangkitan komuniti – akan dianggap “berisiko tinggi” manakala kawasan yang tiada kes positif selama 14 hari akan dianggap “berisiko rendah”.

Kawasan sederhana atau berisiko tinggi bakal berdepan sekatan selama dua minggu.

Sistem baharu itu nampaknya menetapkan tahap pergerakan setanding bandar lain, iaitu peralihan daripada langkah semasa yang sukar di mana penduduk di kawasan berisiko rendah juga berdepan sekatan yang ketat. – AFP, 22 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen