Festival Filem Cannes pecah tradisi angkat video pendek di TikTok


Bintang sensasi TikTok Khaby Lame antara yang hadir pada Festival Filem Cannes yang berlangsung di Riviera Perancis. – Gambar EPA, 22 Mei, 2022.

KINI anda tidak lagi memerlukan wang berjuta-juta dolar dan perjanjian pengedaran demi memenangi hadiah di Festival Filem Cannes – cukup sekadar sebuah telefon pintar bersama bakat tersendiri.

Genap 75 tahun, penganjur festival filem tersebut membuka peluang kepada pengguna platform video pendek, TikTok mengangkat karya mereka ke pentas perfileman terkemuka dunia itu.

Pada tahun ini, TikTok merupakan penaja rasmi festival tahunan itu.

Ini sekali gus membawa beberapa bintang sensasi platform video itu ke Riviera Perancis, termasuk Khaby Lame yang mempunyai 139 juta pengikut.

Malah, penganjuran kali ini memecahkan tradisi apabila larangan berswafoto dibenarkan di atas karpet merah.

TikTok juga menaja pertandingan filem pendek, dengan hadiah diberikan juri profesional filem serta Lame.

“Anda mungkin tidak menyangka video berdurasi tiga minit adalah singkat, tetapi kami benar-benar cuba menilai mereka sama seperti kami menilai filem berdurasi 120 minit,” kata juri dan pengarah Perancis Camille Ducellier kepada penonton yang berkumpul.

Hadiah utama dikongsi Mabuta Motoki Jepun, dengan video ringkas tetapi menyentuh tentang ukiran kayu tradisional dan Matej Rimanic Slovenia bersama ode mini kepada komedi senyap hitam-putih.

Bagaimanapun pertandingan baru festival filem Cannes tidak semudah apa yang dijangkakan.

Ia selepas ketua juri yang merupakan pengarah filem, Rithy Panh meletak jawatan mengejut sehari sebelum festival itu berlangsung, sambil menuduh TikTok cuba mempengaruhi pemilihan.

“TikTok membalikkan haluan dan menjatuhkan maruah kami,” kata Panh kepada AFP.

Katanya, mereka (juri) sepatutnya diberi kebebasan untuk menganugerahkan “filem yang dipilih”. – AFP, 22 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen