BANGKOK mengadakan pilihan raya bagi memilih gabenor baharu hari ini, hampir sedekad selepas kali terakhir ia diadakan sebelum rampasan kuasa pada 2014.
Kira-kira empat juta orang layak mengundi sejak protes besar-besaran diketuai golongan belia pada 2020, yang menuntut perubahan politik dan pembaharuan kepada sistem monarki Thailand.
Pusat mengundi di seluruh ibu kota itu dibuka mulai 8 pagi waktu tempatan dan ditutup jam 5 petang.
Isu semasa mendominasi kempen calon dengan pesaing utama berikrar untuk menyelesaikan masalah kesesakan, pencemaran dan bising di Bangkok yang mempunyai 10 juta penduduk.
Seramai 30 calon bertanding selepas rampasan kuasa pada 2014, yang menyaksikan pilihan raya tempatan dibatalkan dan bandar itu ditadbir oleh pemimpin yang dilantik kerajaan.
Calon bebas Chadchart Sittipunt yang juga bekas menteri pengangkutan itu berjanji akan untuk mengatasi masalah lalu lintas serta menegaskan pengundi mahukan perubahan dalam politik.
Pesaingnya, penyandang selama enam tahun Aswin Kwanmuang yang bekas jeneral polis yang disokong Perdana Menteri Chan-O-Cha pula berikrar akan menyelesaikan isu banjir yang sering melanda Bangkok.
Kwanmuang dikecam selepas beberapa bahagian di Bangkok dilanda banjir ekoran hujan lebat awal minggu ini. – AFP, 22 Mei, 2022.
Komen