Ribut landa Kanada, 4 maut


Kanada sering dilanda cuaca buruk yang menjejaskan penduduknya. – Gambar AFP, 22 Mei, 2022.

EMPAT terbunuh dan hampir 900,000 rumah terputus bekalan tenaga selepas ribut kuat melanda timur Kanada di wilayah Ontario dan Quebec, kata pihak berkuasa pada Sabtu.

Polis Ontario di Twitter berkata tiga orang terbunuh dan beberapa lagi cedera disebabkan ribut kuat itu.

Seorang lelaki terbunuh selepas pokok tumbang jatuh ke trailer didudukinya. Seorang wanita berusia 70-an juga maut selepas ditimpa pokok tumbang.

Di Ottawa, seorang lagi mangsa maut tetapi butiran kejadian tidak didedahkan polis tempatan.

Mangsa keempat adalah wanita berusia 50-an yang lemas apabila bot dinaikinya terbalik di Sungai Ottawa, yang memisahkan Ottawa dan Quebec ketika ribut melanda, lapor CBC, memetik kenyataan polis tempatan.

Hampir 900,000 rumah di dua wilayah itu terputus bekalan tenaga pada malam Sabtu, menurut laman web penyedia bekalan Hydro One dan Hydro-Quebec. – AFP, 22 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen