SEBUAH syarikat penerbangan di Arab Saudi berjaya menyempurnakan satu penerbangan dikendalikan semua krew wanita, kata pegawai semalam, yang dianggap satu kejayaan usaha pemerkasaan wanita di negara konservatif itu.
Penerbangan dikendalikan flyadeal, sebuah anak syarikat Saudia, dari Riyadh ke bandar pesisir Laut Merah di Jeddah pada Khamis, kata jurucakap flyadeal Emad Iskandarani.
“Majoriti” tujuh anak kapal adalah wanita Saudi, termasuk pegawai. Tetapi kapten penerbangan adalah wanita warga asing, kata Iskandarani.
Pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi mengesahkan pengumuman flyadeal semalam, menyifatkannya sebagai kejayaan terbaru peluasan peranan wanita dalam sektor penerbangan negara itu.
Pada 2019, pihak berkuasa mengumumkan penerbangan pertama dengan juruterbang keduanya adalah seorang wanita Saudi.
Pegawai Saudi dalam usaha memperluaskan sektor penerbangan negara itu bagi menjadikannya pusat penerbangan global.
Sasaran termasuk melipat gandakan trafik tahunan kepada 330 juta penumpang menjelang akhir dekad ini, menarik AS$100 bilion (RM438.9 bilion) pelaburan untuk sektor itu menjelang 2030, mewujudkan syarikat penerbangan nasional, membina “lapangan terbang mega” baharu di Riyadh dan memindahkan lima juta tan kargo setiap tahun.
Tetapi penganalisis industri mempersoalkan sama ada syarikat penerbangan berpangkalan di Saudi akan mampu bersaing dengan syarikat terkemuka di rantau itu seperti Emirates dan Qatar Airways.
Pemerintah de fakto negara itu, Putera Mahkota Mohammed bin Salman menyelia perubahan itu yang antara usaha dibuat termasuk membatalkan larangan wanita memandu dan melonggarkan peraturan “penjaga” yang memberikan lelaki hak penjagaan sepenuhnya kepada saudara wanita mereka.
Tetapi pada masa sama, wujud juga pembantaian terhadap aktivis hak wanita yang bertahun-tahun memperjuangkan kebebasan mereka. – AFP, 22 Mei, 2022.
Komen