Israel sahkan kes pertama cacar monyet


Cacar monyet biasanya ditemui di Benua Afrika telah dikesan di Israel, beberapa negara Eropah dan Amerika Utara. – Gambar AFP, 22 Mei, 2022.

ISRAEL semalam mengesahkan kes pertama cacar monyet, ketika puluhan kes dikesan di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara.

Jurucakap Hospital Ichilov di Tel Aviv berkata seorang lelaki berusia 30 tahun yang baru tiba dari Eropah barat dengan gejala cacar monyet telah diuji positif.

Kementerian Kesihatan Israel dua hari lalu berkata lelaki berkenaan terdedah kepada penyakit cacar monyet di luar negara.

Pesakit itu mengalami simptom tidak ketara dan dikuarantin di Hospital Ichilov.

Cacar monyet yang biasanya ditemui di Benua Afrika telah dikesan di Britain, Perancis, Jerman, Belgium, Itali, Portugal, Sepanyol, Sweden serta di Amerika Syarikat, Australia dan Kanada.

Jangkitan yang jarang berlaku dan tidak mengancam nyawa itu menyebabkan pesakit mengalami gejala termasuk demam, sakit otot, sakit kepala, bengkak nodus limfa, keletihan dan ruam kulit.

Virus cacar monyet juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus seperti tempat tidur atau pakaian.  

Jangkitan kebiasaannya hilang selepas dua hingga empat minggu, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia.– AFP, 22 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen