Pemilihan PKR bermasalah, pengundian semula di beberapa negeri


Chan Kok Leong

KEPUTUSAN Pemilihan PKR 2022 mungkin ditangguhkan kerana banyak cabang perlu mengundi semula, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Menurut beberapa pemimpin PKR, pengundian semula akan dibuat di beberapa cabang di sekurang-kurangnya lima negeri.

“Kita tidak akan dapat sebarang keputusan hari ini atau sampai Isnin sebab ada cabang di Kelantan yang terpaksa buat pengundian semula atas isu teknikal,” kata satu sumber.

“Cabang lain termasuk di Kedah, Selangor, Johor dan Terengganu.”

Tambahnya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) juga tidak boleh mengumumkan sebarang keputusan sehingga semua pengundian selesai.

“Jika tidak, akan ada pertikaian,” tambahnya.

Sementara itu, sumber lain mengesahkan antara cabang yang diarah buat semula pemilihan ialah Padang Serai di Kedah dan Hulu Selangor di Selangor.

Di Padang Serai, sepucuk surat bertarikh 20 Mei oleh JPP kepada cabang itu mengarahkannya menangguhkan pengundian berikutan laporan daripada pasukan teknikal.

“Tarikh baharu pengundian semula di cabang Padang Serai akan dimaklumkan kemudian,” kata pengerusi JPP Dr Zaliha Mustafa dalam surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Di Hulu Selangor, ahli parti juga menerima notis yang pengundian bagi cabang itu telah ditangguhkan ke tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian oleh JPP.

Malaysiakini dalam pada itu melaporkan pengundian cabang Hulu Selangor dibatalkan kerana tiada kemudahan mengundi.

PKR telah menjalankan pemilihannya secara hibrid, mengikut negeri. Esok hari terakhir mengundi.

Walaupun laporan tidak rasmi keputusan itu dijangka diumum pada 23 Mei, keputusan pengundian untuk kepimpinan parti 2022-2025 hanya akan disahkan pada kongres PKR bulan depan.

Menurut JPP, 67,419 ahli PKR telah pun mengundi melalui aplikasi ADIL dari 18-19 Mei lalu.

Bercakap kepada Bernama, Dr Zaliha berkata jumlah ahli yang telah mendaftar untuk mengundi secara dalam talian ialah 76,926 orang.

Pengundian dalam talian pada Pemilihan PKR 2022 yang pertama kali dilaksanakan berjalan lancar apabila 67,419 ahli parti mengundi melalui aplikasi ADIL sejak 18 Mei hingga hari ini.

Bagi pengundian fizikal, Dr Zaliha berkata hanya 8% atau 90,304 ahli telah mengundi setakat Jumaat.

Seramai 1,118,423  ahli PKR layak mengundi pada Pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayapnya. – 21 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen