RUSIA telah mengisytiharkan kemenangan dalam operasinya menawan pelabuhan strategik Mariupol selepas Ukraine mengarahkan tentera terakhirnya bersembunyi di kilang keluli Azovstal di bandar itu untuk letak senjata mereka.
Tindakan Moscow menawan Mariupol telah menimbulkan pelbagai tuduhan jenayah perang, termasuk serangan maut ke atas wad bersalin, malah Ukraine telah memulakan usaha tindakang undang-undang ke atas tentera Rusia yang ditangkap.
Perbicaraan pertama seorang askar Rusia bagi jenayah perang menghampiri kemuncaknya di Kyiv pada Jumaat, selepas sarjan Vadim Shishimarin berusia 21 tahun mengaku membunuh orang awam yang tidak bersenjata pada awal serangan itu. Keputusan dibuat pada Isnin.
Shishimarin memberitahu mahkamah dia “sangat menyesal”. Tetapi peguamnya berkata dalam hujah penutup yang askar muda itu “tidak bersalah” atas pembunuhan terancang dan jenayah perang.
Sejak tentera Ukraine menangkis serangan Rusia di sekitar Kyiv kedua-dua timur Ukraine dan Mariupol di selatan telah menanggung beban serangan darat dan artileri yang dahsyat.
Pertempuran paling sengit di wilayah timur Donbas, kawasan berbahasa Rusia yang sebahagiannya dikawal oleh pemisah pro-Kremlin sejak 2014.
“Percubaan untuk menyerang Donbas diteruskan. Mereka benar-benar merosakkan Rubizhne, Vonokvakha, sama seperti Mariupol,” kata Presiden Volodymyr Zelensky dalam ucapan video hariannya pada Jumaat, menambah Rusia “cuba melakukan perkara yang sama dengan Severodonetsk dan banyak bandar lain”.
Di bandar timur Severodonetsk, 12 orang terbunuh dan 40 lagi cedera akibat tembakan Rusia, kata gabenor wilayah itu. – AFP, 21 Mei, 2022.
Komen