MAYAT pembantu rumah warga Filipina yang ditemui dalam peti sejuk di Kuwait tiba di kediamannya pada Jumaat, sehari selepas Presiden Rodrigo Duterte menyekat warganegara itu daripada bekerja di negara Teluk.
Joanna Demafelis, 29, ditemui awal bulan ini selepas majikannya, warga Lubnan dan isterinya warga Syria, menghilangkan diri pada 2016.
Kematiannya mencetuskan ketegangan diplomatik antara Kuwait dan Manila, yang mengisytiharkan sekatan untuk pekerja warga negara itu di negara yang kaya dengan minyak serta membawa pulang ratusan lagi yang lain, satu tindakan yang menimbulkan kecaman di Timur Tengah.
Kakak mangsa meratap di keranda adiknya selepas ia dikeluarkan di lapangan terbang Manila pada Jumaat, manakala abangnya Joejet Demafelis cuba menenangkannya.
“Ini satu kehilangan besar bagi kami. Dia beritahu ibu saya, impiannya hanya mahu membantu ibu bapa kami dan adik-beradik yang lain,” kata abangnya itu kepada pemberita di terminal kargo lapangan terbang berkenaan.
“Ibu bapa saya tidak dapat menerima semua ini. Mereka sering kali menangis,” tambahnya.
“Saya harap orang yang bertanggungjawab ini dapat ditangkap.”
Menurut pihak berkuasa, 252,000 warga Filipina bekerja di Kuwait, kebanyakannya sebagai pembantu rumah.
Pekerja domestik di negara itu tidak dilindungi undang-undang buruh, dan ia menyumbang kepada warga Filipina menjadi mangsa dera dan eksploitasi di Timur Tengah.
Duterte yang berang mengecam Kuwait selepas kematian Demafelis, dan mendakwa majikan Arab sering kali merogol pekerja Filipina, memaksa mereka bekerja 21 jam setiap hari dan memberi mereka makan sampah.
Setiausaha kementerian luar Filipina Peter Cayetano berkata pada Jumaat, kedutaan Kuwait memberi jaminan bahawa kerajaan negara itu “marah” dengan pembunuhan itu dan bertekad untuk memburu mereka yang bertanggungjawab.
Cayetano berkata, kematian tragik itu juga menjadi titik permulaan kepada kerajaan untuk bekerja keras dalam melindungi warga Filipina di luar negara, dan mengakui hubungan Filipina dan Kuwait sedang melalui “tempoh yang sukar”.
Katanya hanya tiga ke empat peratus buruh Filipina di Kuwait menghadapi masalah namun mengakui kerajaan perlu lakukan lebih baik. – AFP, 16 Februari, 2018.
Komen