Rusia henti bekal gas ke Finland


Gazprom, pembekal gas asli Rusia telah menghentikan penghantaran bekalan gas asli kepada Finland selepas negara itu enggan membayar pembelian menggunakan matawang rubel, malah telah menimbulkan kemarahan Moscow selepas negara itu memohon keahlian Nato. – Gambar EPA, 21 Mei, 2022.

MOSCOW pada Sabtu telah berhenti membekalkan gas asli kepada negara jiran Finland selepas negara itu memohon keahlian Nato, selain enggan bayar menggunakan matawang rubel keoada pembekal Gazprom milik Rusia.

Berikutan pencerobohan Rusia pada 24 Februari ke atas Ukraine, Moscow telah menggesa pembeli dari “negara tidak mesra”—termasuk negara anggota Kesatuan Eropah (EU)—membayar gas dalam rubel, satu cara untuk mengelak sekatan kewangan Barat terhadap bank pusatnya.

Gazprom pada Sabtu berkata dalam satu kenyataan ia telah “menghentikan penghantaran gas sepenuhnya” kerana tidak menerima bayaran rubel daripada syarikat tenaga milik kerajaan Finland, Gasum “menjelang hari akhir bekerja pada 20 Mei”.

Gazprom berkata ia telah membekalkan 1.49 bilion meter padu gas asli kepada Finland pada 2021, bersamaan kira-kira dua pertiga daripada penggunaan gas negara.

Bagaimanapun, gas asli menyumbang kira-kira lapan peratus daripada tenaga Finland.

Gasum berkata ia akan menampung kekurangan daripada sumber lain melalui saluran paip Balticconnector, yang menghubungkan Finland ke Estonia, dan memberi jaminan stesen pengisian akan berjalan seperti biasa.

“Bekalan gas asli ke Finland di bawah kontrak pembekalan Gasum telah diputuskan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pada April, Gazprom Export menuntut pembayaran masa depan dalam kontrak bekalan dibuat dalam rubel dan bukannya euro.

Gasum menolak tuntutan itu dan mengumumkan pada Selasa ia akan membawa isu itu ke mahkamah timbang tara.

Gazprom Export berkata ia akan mempertahankan kepentingannya di mahkamah dengan apa-apa “cara yang ada”.

Gasum berkata ia akan dapat mendapatkan gas daripada sumber lain dan stesen pengisian gas di kawasan rangkaian akan meneruskan “operasi biasa”. – AFP, 21 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen