PIHAK berkuasa di Ecuador semalam menahan dan memenjarakan semula bekas naib presiden Jorge Glas selepas mahkamah mengarahkan beliau perlu menjalani baki bagi hukuman rasuah yang dihadapinya.
Glas, 52, “dimasukkan” ke penjara di wilayah tengah Cotopaxi “tetapi atas alasan keselamatan dan mengikut peraturan yang berkuat kuasa beliau akan dipindahkan ke penjara 4” di Quito, kata kementerian dalam negeri negara itu menerusi Twitter.
Terdahulu polis menahan Glas di rumahnya di bandar pelabuhan Guayaquil, menurut video yang disiarkan di media sosial.
Beliau yang berkhidmat sebagai naib presiden dari 2013 hingga 2017 tidak menentang penahanan berkenaan.
Penahanan itu dibuat selepas mahkamah di wilayah barat daya Santa Elena menolak keputusan mahkamah rendah yang membebaskan Glas dari penjara atas alasan kesihatan.
Glas, semasa menjalani hukuman penjara enam tahun kerana menerima berjuta-juta dolar dalam bentuk sogokan daripada gergasi pembinaan Odebrecht dijatuhi hukuman pada Januari tahun lalu bagi tempoh lapan tahun berasingan kerana menyalahgunakan dana awam. – AFP, 21 Mei, 2022.
Komen