Syarikat Elon Musk juga akan melabur di Malaysia, kata Azmin


Mohd Farhan Darwis

Space X merupakan syarikat pembekal internet berkelajuan tinggi milik Elon Musk kini beroperasi di lebih 30 negara termasuk New Zealand, Eropah, dan Amerika Utara. – Gambar EPA, 21 Mei, 2022.

SYARIKAT Star Link dan Space X milik jutawan Elon Musk akan melabur dalam sektor satelit dan internet di Malaysia, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Azmin yang berkunjung ke syarikat itu di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini, berkata wakil syarikat berkenaan juga sedia datang ke Malaysia minggu hadapan bagi memperhalusi perbincangan dengan pihak kementerian dan agensi yang berkaitan.

“Ketika di Los Angeles, saya juga bertemu syarikat Space X dan Star Link, ini juga syarikat dimiliki Elon Musk yang berteknologi tinggi untuk membina satelit bagi memastikan capaian internet dapat dicapai di kawasan pedalaman dengan lebih efektif dan pada kos yang lebih murah dan lebih cepat.

“Mereka telah menyatakan kesediaan melabur di Malaysia dan minggu hadapan mereka akan datang ke Malaysia untuk memperhalusi cadangan-cadangan ini dengan beberapa kementerian dan agensi.

“Kita menyambut baik komitmen syarikat di bawah Space X yang dimiliki Elon Musk untuk melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi,” kata Azmin.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Gombak dan DUN Gombak Setia, hari ini.

Space X merupakan syarikat pembekal internet berkelajuan tinggi milik Musk yang kini beroperasi di lebih 30 negara termasuk New Zealand, Eropah, dan Amerika Utara.

Indonesia pula dilaporkan menarik minat Musk melalui syarikat pembuatan kereta elektrik Tesla untuk melabur dalam sektor bateri kereta elektrik dan industri nikel.

Presiden Indonesia Joko Widodo juga mengadakan pertemuan dengan Musk di Texas baru-baru ini. β€“ 21 Mei, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen