3 tentera Syria maut serangan peluru berpandu Israel


Konflik di Syria mengorbankan setengah juta nyawa dan menyebabkan jutaan lagi menjadi pelarian. – Gambar EPA, 21 Mei, 2022.

PELURU berpandu darat Israel membunuh tiga individu berhampiran ibu negara Syria, Damsyik pada Jumaat, kata media kerajaan memetik sumber tentera.

“Musuh Israel melakukan pencerobohan… yang menyebabkan tiga kematian syahid dan beberapa kerugian material,” menurut agensi berita rasmi Syria, SANA, memetik sumber.

Peluru berpandu itu datang dari Golan yang diduduki Israel dan dipintas oleh pertahanan udara Syria, kata sumber tentera itu.

Wartawan AFP di ibu negara Syria berkata mereka mendengar bunyi yang sangat kuat pada waktu petang.

Pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights berkata tiga yang terbunuh adalah pegawai dan empat lagi anggota kru pertahanan udara cedera.

Serangan Israel menyasarkan kedudukan Iran dan depoh senjata berhampiran Damsyik, kata pemantau itu.

Kebakaran berlaku di salah satu kawasan berhampiran lapangan terbang Damsyik, yang menyaksikan ambulans bergegas ke lokasi serangan, menurut Observatory.

Serangan terbaru pada 13 Mei yang mengorbankan lima orang di tengah Syria, dan satu lagi berhampiran Damsyik pada 27 April, menurut Observatory, membunuh 10 pejuang yang antaranya termasuk enam askar Syria.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel melakukan ratusan serangan udara di sana, menyasarkan tentera kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang kumpulan Syiah Lubnan Hizbullah.

Walaupun Israel jarang mengulas mengenai serangan individu, ia mengakui melakukannya.

Tindakan tentera Israel adalah bagi menghalang musuh ketatnya Iran daripada bertapak di depan pintu masuknya.

Konflik di Syria membunuh hampir setengah juta orang dan memaksa kira-kira separuh daripada penduduknya meninggalkan kediaman mereka. – AFP, 21 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen