BILANGAN kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) yang meninggal dunia akibat hepatitis misteri meningkat kepada enam orang dengan sebanyak 180 kes, umum pihak berkuasa kesihatan pada Jumaat.
Hipotesis utama kekal yang adenovirus 41 menjadi punca, tetapi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) juga melihat faktor lain, seperti sama ada jangkitan sebelumnya dengan Covid-19 menjadikan kanak-kanak lebih mudah terdedah.
“Saya ingin memberi amaran ia mengambil masa untuk menilai bukti,” kata Jay Butler daripada CDC kepada pemberita, sambil menegaskan kes yang disiasat bukanlah wabak mengejut, tetapi sebaliknya beberapa bulan lalu.
CDC masih cuba mengesahkan sama ada ia peningkatan sebenar dalam jumlah kes hepatitis pada kanak-kanak, atau corak sedia ada yang kini diketahui melalui penambahbaikan dalam mengesan kes, katanya.
Beberapa ratus kes sedemikian dilaporkan di seluruh dunia, dengan jumlah tertinggi sebanyak 197, di Britain.
Tiada bukti kaitan dengan vaksin koronavirus, dengan majoriti kes di kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan terlalu muda untuk menerima suntikan.
Seorang lagi saintis CDC, Umesh Parashar berkata agensi itu menganggarkan setiap tahun terdapat 1,500 hingga 2,000 kemasukan ke hospital kanak-kanak bagi penyakit hepatitis pada kanak-kanak berumur di bawah 10 tahun atas sebab selain virus hepatitis A, B dan C di AS.
Walaupun adenovirus 41 mencetus peningkatan kecil kira-kira 100 kemasukan ke hospital dalam tempoh setahun, ia akan menjadi sukar untuk direkod dalam data, katanya.
Butler berkata penjujukan genetik mendedahkan pelbagai jenis adenovirus 41 dikesan pada kanak-kanak mengalami hepatitis—yang menunjukkan ia bukan satu adenovirus “super” yang sangat bermutasi.
Teori lain termasuk negara mungkin mengalami sekumpulan kes susulan sekatan pergerakan Covid menghentikan penyebaran selama beberapa tahun, atau kekurangan pendedahan kepada patogen semasa tempoh sekatan mungkin menjadikan sistem imun kanak-kanak lebih mudah terdedah.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK pada mulanya mengemukakan satu lagi hipotesis yang kehadiran anjing dalam rumah mungkin memainkan peranan, kata Butler.
Adenovirus biasanya disebarkan melalui sentuhan rapat, titisan pernafasan dan permukaan. Terdapat lebih 50 jenis adenovirus, yang paling kerap menyebabkan selsema, tetapi juga beberapa penyakit lain.
CDC mengesyorkan tindakan pencegahan seperti mencuci tangan, menjauhi individu sakit, menutup mulut semasa batuk dan bersin dan mengelak menyentuh mata, hidung atau mulut seseorang. – AFP, 21 Mei, 2022.
Komen