Rundingan beri Sarawak kuasa perundangan berkait pelancongan perlahan, kata Karim


Desmond Davidson

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Hamzah berkata rundingan untuk memberikan kuasa perundangan berkait pelancongan kepada negeri bergerak perlahan kerana ada pihak yang sibuk. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Mei, 2022.

RUNDINGAN untuk memberikan kuasa perundangan berkaitan pelancongan kepada Sarawak bergerak perlahan, kata Abdul Karim Hamzah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu memberitahu The Malaysian Insight rundingan dengan kerajaan persekutuan untuk mengalihkan pelancongan dalam Senarai I (senarai persekutuan) Perlembagaan Persekutuan kepada Senarai III (senarai serentak) telah menjadi perlahan kerana orang yang terlibat dalam rundingan “sibuk dengan pilihan raya (umum)”.

“Pihak-pihak tidak boleh duduk. Mereka sibuk,” katanya ketika mengulas kenyataan Menteri Muda di Pejabat Premier (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di DUN hari ini.

Sharifah Hasidah berkata kerajaan negeri telah mencadangkan pindaan kepada senarai perundangan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan untuk memindahkan pelancongan daripada senarai persekutuan kepada senarai serentak.

Karim bagaimanapun tidak menyatakan berapa banyak yang telah dicapai dalam perbincangan itu.

“Ia terlalu awal (untuk bercakap mengenainya).”

Beliau juga tidak akan mendedahkan secara terperinci perkara yang telah dibincangkan.

“Apa pun, kami akan teruskan.”

Namun begitu, Karim yakin dengan perbincangan itu, berkata “kami akan buat beberapa jenis penyelesaian”.

Pelancongan bukan perkara dalam senarai persekutuan, negeri atau senarai serentak semasa Malaysia ditubuhkan.

Ia berada dalam senarai lain kerana “tiada siapa sedar kepentingan pelancongan pada masa itu”, kata Karim.

Beliau berkata memandangkan ia berada dalam senarai sisa, pelancongan secara automatik sepatutnya menjadi urusan negeri dan berada di bawah bidang kuasa negeri.

Bagaimanapun, pada 1994, pelancongan diletakkan dalam senarai persekutuan apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Karim berkata meletakkan pelancongan dalam senarai persekutuan dalam pindaan itu dibuat secara sembunyi-sembunyi.

“Ia telah dimasukkan ke dalam senarai persekutuan secara diam-diam. Tidak ada perbahasan. – 20 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen