Kanada lapor 2 kes cacar monyet


Penyeakit berjangkit cacar monyet yang kebiasannya tertumpu di Afrika Barat kini telah merebak ke Kanada, Amerika Utara serta Eropah. – Gambar AFP, 20 Mei, 2022.

KANADA mengesahkan dua kes pertama cacar monyet pada Khamis, menambah jumlah kes penyakit berjangkit yang semakin meningkat di Eropah dan Amerika Utara.

“Malam ini, Wilayah Quebec dimaklumkan bahawa dua sampel yang diterima oleh NML (Makmal Mikrobiologi Kebangsaan) telah diuji positif untuk cacar monyet. Ini adalah dua kes pertama yang disahkan di Kanada,” kata Agensi Kesihatan Awam Kanada dalam satu kenyataan.

Kes-kes lain sedang disiasat di Montreal, bandar terbesar Quebec, kata pihak berkuasa.

Pada sidang media Khamis, pegawai kesihatan awam Montreal menyatakan terdapat 17 kes yang disyaki.

Beberapa dozen jangkitan cacar monyet yang disyaki atau disahkan telah dikesan sejak awal Mei di Eropah dan Amerika Utara, membawa kepada kebimbangan bahawa penyakit itu—kebiasannya tertumpu di Afrika Barat—mungkin merebak.

Cacar monyet adalah penyakit luar biasa yang biasanya menyebabkan simptom demam, sakit otot, nodus limfa bengkak dan ruam seperti cacar air pada tangan dan muka.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS menyatakan pada Rabu sesiapa sahaja “boleh menyebarkan cacar monyet melalui sentuhan dengan cecair badan, kudis monyet cacar, atau barang kongsi (seperti pakaian dan peralatan tempat tidur) yang telah tercemar dengan cecair atau kudis seseorang yang menghidap cacar monyet, ” sambil menambah pembasmi kuman isi rumah boleh membunuh virus pada permukaan. – AFP, 20 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen