Kerajaan digesa ambil tindakan penjawat awam enggan beri khidmat berdasarkan pakaian


Penjawat awam tiada kuasa menentukan pakaian orang ramai sebelum memberikan perkhidmatan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2022.

KERAJAAN mesti bertindak terhadap penjawat awam yang enggan memberi khidmat kepada orang ramai yang tidak mematuhi etika berpakaian, kata Ahli Parlimen DAP Ngeh Koo Ham.

Ahli Parlimen Beruas berkata tiada undang-undang yang memberi kuasa kepada penjawat awam untuk menentukan pakaian orang ramai sebelum memberikan perkhidmatan kerajaan.

“Jika peraturan menteri menyalahi undang-undang dan tidak sah, jika ia tidak diberikan kuasa sedemikian, (lebih-lebih lagi) peraturan yang dibuat oleh ketua jabatan yang memerlukan orang ramai mematuhi pakaian tertentu adalah tidak sah dan terbatal.

“Ketua jabatan sedemikian jelas melanggar undang-undang dan tindakan mesti diambil terhadap mereka,” kata Ngeh dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan pakaian seragam sekolah yang dipakai oleh pelajar sekolah atau badan beruniform.

“Pakaian untuk persatuan dan organisasi swasta juga berbeza kerana ahli mereka bersetuju dengan peraturan yang mengawal mereka.”

Memandangkan tiada sesiapa mengatasi undang-undang, Ngeh menggesa Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengambil tindakan segera terhadap ketua jabatan yang bertindak di luar bidang kuasa dalam menetapkan pakaian yang mesti dipakai orang ramai sebelum perkhidmatan boleh diberikan kepada mereka.

“Penjawat awam perlu diingatkan yang mereka adalah penjawat awam kerana gaji mereka dibayar oleh rakyat. Mereka bertanggungjawab kepada orang ramai.

“Seorang petani berseluar pendek dan bersinglet atau Orang Asli dalam pakaian tradisional mereka berhak dilayan oleh penjawat awam. Orang miskin yang tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian sesuai juga berhak untuk dilayan oleh penjawat awam.

“Melainkan jika seseorang itu menjadi gangguan awam yang merupakan satu kesalahan di bawah kanun keseksaan, perkhidmatan awam mesti diberikan kepada semua.

“Walaupun, jika seseorang itu menjadi gangguan awam, pihak berkuasa yang bertindak terhadap individu itu adalah polis dan bukan penjawat awam lain.”

Walaupun tiada kod berpakaian untuk orang awam di pejabat kerajaan, jabatan tertentu enggan membenarkan orang ramai memasuki premis kerana mereka dianggap berpakaian “tidak sesuai”.

Kes terbaru membabitkan seorang wanita yang dinafikan masuk ke kompleks kerajaan Wisma Persekutuan di Johor Baru oleh pengawal keselamatan yang menganggap pakaiannya “tidak sesuai” walaupun berpakaian sopan.

Kerani pentadbiran Leni Fernandez memakai gaun lengan panjang dan labuh 7cm di bawah lutut dan kasut bertutup ketika seorang pengawal keselamatan berkata pakaiannya “provokatif dan tidak senonoh”. – 20 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen