Mansuh hukuman mati perlu kesungguhan politik, kata presiden Badan Peguam


Raevathi Supramaniam

Presiden Badan Peguam Karen Cheah berkata setiap perubahan yang hendak dilakukan memerlukan kesungguhan politik daripada pihak kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2022.

MALAYSIA perlu mengkaji untuk memansuhkan hukuman mati terlebih dulu sebelum ia boleh menyokong pemansuhan undang-undang itu secara keseluruhannya, kata Presiden Badan Peguam Karen Cheah.

Bagaimanapun katanya, bagi setiap perubahan yang hendak dilakukan, ia memerlukan kesungguhan politik daripada pihak kerajaan.

“Saya fikir kita mengambil langkah demi langkah. Perkara pertama yang sedang dilihat ialah memansuhkan hukuman mati mandatori dan sebaik saja ada kesungguhan politik untuk mengubahnya, kemudian kita akan perjuangkan bagi semua hukuman mati,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami rasa hukuman mati adalah sesuatu yang tidak ada elemen pemulihan.

“Kita sepatutnya memulihkan individu yang dijatuhi hukuman.”

Baru-baru ini, pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran Dharmalingam, rakyat Malaysia yang kurang upaya kemampuan intelektual, di Singapura, mencetuskan kritikan daripada wakil rakyat dan kumpulan persatuan sivil.

Dia ditahan pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah kerana membawa masuk secara haram 42.7 gram dadah jenis diamorfin.

Nagaenthran ditahan dengan sebungkus heroin itu diikat di pahanya ketika memasuki republic itu dari Malaysia menerusi pusat pemeriksaan imigresen Woodlands pada April 2009.

Dia pada awalnya dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati pada November tahun lalu tetapi keputusan itu mencetuskan kritikan kerana paras IQ tertuduh yang rendah dan peguamnya memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan pada saat akhir.

Singapura dituduh menafikan undang-undang antarabangsa dan norma larangan pelaksanaan hukuman mati terhadap golongan kurang upaya secara intelek dan psikososial, mengikut Konvensyen Hak Individu Kurang Upaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Ia juga diminta memberikan belas ihsan kepada Nagaenthran berdasarkan kepada keadaan tertuduh, tetapi republik itu tetap meneruskan pelaksanaan hukuman mati selepas rayuannya ditolak.

Singapura dikritik kerana undang-undang tidak berperikemanusiaan itu, tetapi hukuman mati juga terpakai di Malaysia bagi 33 kesalahan, termasuk 12 hukuman mandatori.

Sejak beberapa tahun terakhir ini, hukuman itu biasa digunakan bagi kesalahan membunuh dan penyeludupan dadah.

Walaupun kelihatan agak hipokrit bila Malaysia mendesak Singapura memberikan ihsan, sementara undang-undang sama masih wujud di sini, Cheah berkata ada satu perbezaan besar.

Di Malaysia, pada masa ini ada moratorium bagi semua hukuman mati.

“Bagi saya, ini satu perbezaan besar antara kedua-dua negara,” katanya.

“Dalam kes kita, ada moratorium bagi semua hukuman mati. Seseorang individu mungkin sudah disabitkan bersalah, tetapi mereka tidak akan menjalani hukuman itu pada masa terdekat.

“Di Singapura, pelaksanaan hukuman mati dijalankan tanpa kemungkinan wujudnya moratorium.”

Malaysia mengisytiharkan moratorium bagi semua hukuman mati pada Julai 2018 seperti dipersetuji di Perhimpunan Agung PBB.

Menurut data Amnesty International, sebanyak 469 pelaksanaan hukuman mati dijalankan sejak 1957.

Pada masa ini, seramai 1,281 sedang menunggu hukuman mati di 26 pusat tahanan di seluruh negara, di mana 73% daripadanya adalah pesalah kes penyeludupan dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – 20 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen