CHINA amat mementingkan hubungan dengan Asean termasuk hubungan diplomatik dan mahu terus memperhebat kerjasama dalam pelbagai bidang, kata jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin.
Beliau berkata hasil usaha bersama China-Asean, hubungan kedua-dua pihak berkembang baik dan mencapai hasil yang memberangsangkan.
“Pada 2021, kedua-dua pihak bersama-sama menyambut ulang tahun ke-30 jalinan hubungan dialog China-Asean dan hubungan rakan strategik komprehensif China-Asean.
“Pada 1 Januari tahun ini, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mula berkuat kuasa secara rasmi, sekali gus menyuntik kedinamikan baharu kepada kedamaian dan kestabilan, kemakmuran dan pembangunan dunia,” katanya sebagai mengulas laporan akhbar Global Times.
Laporan itu mendedahkan mengenai tinjauan umum berhubung “pemahaman dan sikap rakyat China terhadap Asean” dan “pemahaman dan sikap mahasiswa China terhadap kerjasama China-Asean”.
Wang berkata hasil tinjauan umum itu memperlihatkan pengiktirafan penduduk China terhadap sumbangan optimis Asean terhadap kedamaian dan pembangunan rantau Asia-Pasifik.
Laporan itu juga mengandungi perkara berkaitan pemahaman masyarakat terhadap sikap pihak luar rantau ini yang ingin menjejaskan hubungan antara China dengan Asean.
“Negara-negara Asean bukanlah alat untuk percaturan dan perebutan geopolitik, sebaliknya pendorong penting bagi menggalakkan pembangunan dan kemakmuran serantau.
“Segala tindakan untuk mencetuskan pertentangan dan pemisahan pasti akan gagal,” katanya.
Wang menengaskan, China bersedia berusaha bersama Asean di bawah konsensus Sidang Kemuncak Ulang Tahun ke-30 Hubungan Dialog China-Asean, mengintensifkan kerjasama dalam pelbagai bidang selain menghargai dan memelihara persahabatan dalam kalangan rakyat serta berganding bahu menjayakan komuniti berkongsi nasib yang lebih erat. – Bernama, 19 Mei, 2022.
Komen