Permit kelulusan untuk import beras masih perlu, kata kementerian 


Kementerian Pertanian dan Industri Makanan berkata pemansuhan permit yang diluluskan untuk barangan makanan import tidak terpakai kepada beras.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2022.

PEMANSUHAN kelulusan kuota import (AP) bagi mengimport sebarang bahan makanan tidak terpakai kepada beras, kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan hari ini.

Ia juga berkata walaupun AP untuk bahan makanan lain tidak lagi diperlukan, permit import (IP) masih diperlukan.

Dalam satu kenyataan untuk menjelaskan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa keperluan AP untuk mengimport “sebarang bahan makanan” telah dimansuhkan berkuat kuasa serta-merta, kementerian berkata AP untuk import beras masih berkuat kuasa.

“Walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk mengimport makanan dari negara lain, pengimport masih perlu memiliki IP bagi tujuan kawalan biokeselamatan di pintu masuk negara.

“Ini bagi memastikan biokeselamatan produk import dan ia bebas daripada penyakit dan diperoleh daripada sumber yang diluluskan oleh kerajaan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Ia berkata pemansuhan AP untuk bahan makanan dilindungi seperti kobis import, ayam dan susu.

“Bagaimanapun, AP untuk import beras masih berkuat kuasa,” katanya.

Ismail Sabri berkata langkah memansuhkan AP untuk makanan import dibuat bagi memastikan bekalan makanan mencukupi memandangkan kekurangan bekalan dan inflasi di seluruh dunia berterusan disebabkan beberapa faktor termasuk perang Rusia-Ukraine.

Beliau berkata semua pihak akan dapat mengimport “sebarang makanan”.

Malaysia mempunyai bil import makanan melebihi RM50 bilion dan mengimport bahan makanan asas seperti beras sebanyak 30%, daging lembu (78%), kambing (hampir 90%) dan kubis (60%).– 19 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen