Semai semangat kesetiaan sempena tahun anjing, kata MB Johor


Mohd Farhan Darwis

Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin berkata masyarakat Cina di negeri itu diminta sentiasa bersama-sama kerajaan dalam situasi susah atau senang, sempena tahun anjing dalam kalendar Cina, tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Februari, 2018.

SEMPENA tahun anjing dalam kalendar Cina, Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin menyeru masyarakat Cina di negeri itu sentiasa bersama-sama kerajaan dalam situasi susah atau senang.

Khaled memberi bayangan etnik Tiong Hua harus mencontohi kesetiaan anjing yang merupakan sahabat setia manusia dan tidak membelakangkan antara satu sama lain.

“Kalau kita sama-sama sahabat maka kita perlu bersahabat dalam masa senang dan susah. Walaupun kita berbeza dan kita berkawan kerana itu kita tak membelakangkan satu sama lain.

“Sekarang zaman senang tuan-tuan mohon macam-macam…lagi sebulan, dua, tiba masa kita pula nak minta tolong. Sebab kita sahabat, dan saya kawan tuan-tuan, tuan-tuan kawan saya,” katanya merujuk kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tuan-tuan selalu minta pada saya, saya minta sekali saja dalam lima tahun.”

Khaled berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina Persekutuan Tiong Hua di Johor Baru, hari ini.

Sebagai sahabat setia, Khaled yang mengakui turut dilahirkan pada tahun anjing berkata, mereka perlu bersama walaupun diuji.

“Anjing ini kualiti dia bijak dan setia, ada masa senang dan susah. Itu biasa…takkanlah senang sentiasa.

“Masa susah ia mencabar dan menguji kita sama ada kita boleh melalui keadaan itu yang akhirnya membawa kejayaan atau tidak.

“Anjing ini dianggap sahabat terbaik manusia. Kalau kita lihat masyarakat barat anjing ini menjadi teman paling setia. Betapa persahabatan baik itu akan dikenang semua orang, persahabatan tulus ikhlas itu saya percaya akan dijaga dan dipelihara,” katanya.

Khaled yang juga Adun Kempas berkata sempena tahun bakal diadakan PRU14, ia seharusnya menjadi tahun meraikan persahabatan.

“Apabila kita umum kita bersahabat kita jadikanlah tahun ini meraikan persahabatan.

“Saya penuhkan permintaan anda, anda penuhi permintaan kita.

“Saya ingin menyeru kaum Tiong Hua kita bersatu hati dan pasukan sebagai pasukan Johor. ‘Team Johor’ yang mempunyai azam kuat bersama berusaha jadikan Johor negeri yang terbaik di Malaysia.” – 16 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen