Lama dalam politik tak bermakna layak jadi duta, kata bekas diplomat


Raevathi Supramaniam

Bekas duta besar Malaysia ke Belanda Noor Farida Mohd Ariffin berkata Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman tiada kaliber untuk dilantik sebagai duta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2022.

PENGALAMAN lama Tajuddin Abdul Rahman dalam politik tidak bermakna ahli Parlimen Pasir Salak itu layak dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, kata seorang bekas diplomat.

Dalam temu bual bersama stesen radio BFM pagi ini, Noor Farida Mohd Ariffin yang pernah bertugas sebagai duta besar Malaysia ke Belanda berkata Tajuddin tiada kaliber untuk dilantik sebagai duta.

“Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) cuba mempertahankan pelantikan itu dengan berkata Tajuddin adalah ahli politik berpengalaman.

“(Tetapi) ahli politik yang berpengalaman tidak bermakna beliau layak menjadi duta,” kata Farida.

Mengulas lanjut, beliau berkata Ismail Sabri mungkin terpaksa melantik Tajudin yang terkenal dengan banyak kontroversi.

“Ada banyak spekulasi di media sosial. Ramai yang kata perdana menteri perlukan sokongannya (Tajuddin).

“Kedudukan perdana menteri tidak kukuh, bukan? Ramai orang anggap sebagai ‘lame duck’, perlukan sokongan untuk hadapi pilihan raya umum,” ujarnya.

Semalam, Ismail Sabri berkata pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu mendapat persetujuan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Tajuddin juga dilantik kerana beliau orang politik yang lama serta berpengalaman, tambahnya. 

Tajuddin menggantikan Zainal Abidin Bakar yang dilantik pada 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman tiada kaliber untuk jadi duta, kata bekas diplomat Noor Farida Mohd Ariffin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2022.

Ahli Parlimen berusia 74 tahun itu tidak asing lagi dengan kontroversi. Pada Mei 2021, beliau dipecat dari jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Berhad tidak lama selepas membuat kenyataan yang dianggap tidak sensitif susulan pelanggaran dua tren LRT di Kuala Lumpur.

Dua kali beliau dikenakan kompaun kerana melanggar ketetapan pencegahan penularan Covid-19 apabila tidak mengenakan pelitup muka.

Pada Mei tahun lalu juga beliau turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu siasatan atas dakwaan salah guna kuasa.

Farida seterusnya berkata pelantikan duta harus dibuat dalam kalangan diplomat yang terlatih dan mempunyai kemahiran diplomatik.

“Biasanya diplomat yang berpengalaman dan terlatih dihantar ke negara-negara penting seperti Indonesia.

“Mereka mesti mempunyai 10 hingga 20 tahun pengalaman sebelum dilantik sebagai duta,” katanya. – 19 Mei, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen