PASUKAN penyelamat Indonesia semalam bertungkus lumus untuk melepaskan sebuah feri membawa hampir 800 penumpang yang terkandas selepas melanggar pulau terbenam di wilayah paling selatan negara itu.
Feri KM Sirimau yang membawa 784 penumpang dan 55 anak kapal itu terkandas dua hari selepas tersangkut di laluan perairan Nusa Tenggara Timur.
Oleh kerana tidak menunjukkan tanda-tanda kebocoran, fokus pasukan penyelamat menumpu kepada usaha untuk melepaskan feri tersebut bagi membolehkannya belayar semula, bukan memindahkan semua penumpang.
Usaha melepaskan feri itu menggunakan bot penunda bagaimanapun gagal, kata ketua agensi mencari dan menyelamat bandar Maumere kepada Kompas TV semalam.
Pihak berkuasa kini menunggu kapal tunda dihantar syarikat perkapalan PT Pelni sampai hari ini, namum jika usaha itu juga gagal maka semua penumpang akan dipindahkan, katanya.
“Usaha menunda hanya boleh dibuat semasa air pasang. Kami akan memindahkan penumpang ke pelabuhan terdekat jika operasi gagal,” kata Sudayana.
Semua penumpang dalam keadaan sihat, tambahnya. – AFP, 19 Mei, 2022.
Komen