Kuartet Menteri Covid-19 capai matlamat buka semula negara, kata Hishammuddin


Raevathi Supramaniam

Hishammuddin Hussein berkata mesyuarat terakhir Kuartet Menteri Covid-19 diadakan selepas mencapai matlamat untuk membuka semula negara dengan selamat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2022. 

KUARTET Menteri Covid-19 mengadakan mesyuarat terakhir hari ini selepas mencapai matlamatnya untuk membuka semula negara dengan selamat, kata pengerusinya Hishammuddin Hussein.

Kuartet itu ditubuhkan sembilan bulan lalu bagi membantu negara membuka semula ekonomi dan sempadan yang terjejas oleh pandemik Covid-19.

“Secara keseluruhannya, sejak Mesyuarat Menteri Kuartet diwujudkan, negara kini telah memasuki fasa peralihan ke endemik. 

“181 SOP yang digunapakai sejak Mac 2020 kini hanya tinggal 1 SOP asas dan 9 garis panduan; semua sektor telah dibuka; setiap perayaan telah dibenarkan untuk disambut; pelitup muka juga sudah tidak diwajibkan di tempat terbuka; malah, check-in menggunakan MySejahtera juga sudah tidak lagi menjadi kewajipan.

“Situasi ini sekaligus merumuskan bahawa usaha-usaha yang dibuat oleh Kuartet telah membolehkan kehidupan seharian rakyat telah kembali kepada situasi hampir normal sekaligus menepati matlamat awal penubuhan Kuartet,” katanya. 

Hishammudin yang juga menteri pertahanan berkata untuk melangkah ke hadapan kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan sekatan besar-besaran. 

“Justeru, diharapkan 1 SOP dan 9 garis panduan yang digunapakai ketika ini diamalkan dengan sebaik mungkin. 

“Kekal berdisiplin, jaga kebersihan diri dan terus pakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup demi keselamatan diri dan ahli keluarga,” katanya.

Hishammudin juga mengucapkan terima kasih kepada semua kementerian, agensi dan angkatan tentera yang berkaitan yang memainkan peranan dalam melaksanakan SOP disarankan oleh kuartet itu. – 18 Mei, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen