KIRA-KIRA 10,000 wanita pelbagai bangsa dan agama dijangka berkunjung ke Baghdad Street di Singapura esok, dengan berhijab sempena sambutan Hari Hijab Sedunia 2018, edisi republik itu, lapor berita Mediacorp.
Penganjur acara itu, MODESTyle dilaporkan sebagai berkata inisiatif itu bertujuan untuk mencapai matlamat mereka iaitu memecahkan Buku Rekod Singapura bagi bilangan paling ramai orang memakai hijab pada satu-satu acara.
Perhimpunan terbesar wanita berhijab itu akan diadakan 5 petang esok.
Acara dua hari bermula esok itu akan diadakan dari jam 3 petang hingga 11 malam sempena sambutan yang turut diraikan di seluruh dunia sepanjang Februari.
Mediacorp melaporkan sempena tema tahun ini “memberi inspirasi bagi memperkasakan diri”, acara Hari Hijab Sedunia 2018 tidak bertujuan mengaut keuntungan, tetapi berhasrat menangani isu Islamofobia dan menyertakan elemen berbilang bangsa dan agama.
Editor pemasaran digital MODESTyle Fatin Khan berkata pihaknya mahu memupuk sifat toleransi antara kaum, menangani tanggapan termasuk Islamofobia dan memperkasakan diri wanita.
“Kami ingin meraikan wanita dengan menghimpunkan mereka bersama.
“Ia bukan sahaja tentang memakai hijab, tetapi juga tentang menangani perspektif berbeza mengenai hijab. Kami menggalakkan wanita dari pelbagai kaum dan agama untuk mencubanya selama sehari,” katanya. – 16 Februari, 2018.
Komen