JABATAN Negara Amerika Syarikat mengumumkan unit baharu pada Selasa untuk menyelidik, mendokumenkan dan menghebahkan jenayah perang Rusia di Ukraine.
Pemerhati Konflik akan “merakam, menganalisis, dan menyediakan bukti secara meluas mengenai jenayah perang yang dilakukan Rusia dan kekejaman lain di Ukraine,” kata jabatan itu.
Unit itu akan mengumpul maklumat yang tersedia secara umum dan komersil, termasuk apa yang dilihat di media sosial dan imej satelit komersial, untuk digunakan dalam proses undang-undang sivil dan jenayah semasa dan akan datang.
Hampir tiga bulan selepas Rusia menyerang Ukraine, Kyiv berkata ia telah mengenal pasti beribu-ribu kes jenayah perang.
Yang paling terkenal, dakwaan pembunuhan kejam terhadap berpuluh-puluh orang awam di Bucha, di luar Kyiv.
Unit itu akan mewujudkan platform dalam talian “bagi membantu menafikan usaha salah maklumat Rusia dan menyerlahkan penderaan,” kata jabatan itu.
Ia akan menjadi usaha bersama oleh jabatan; Esri, sebuah syarikat perisian pemetaan; Makmal Penyelidikan Kemanusiaan Universiti Yale; Smithsonian Cultural Rescue Initiative, dan PlanetScape Ai, yang menggabungkan analisis berasaskan kecerdasan buatan dengan imejan satelit dan data lain. – AFP, 17 Mei, 2022.
Komen