PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo atau lebih popular dipanggil Jokowi dan isterinya, Iriana memilih untuk bermalam di hotel bertaraf dua bintang ketika melakukan lawatan kerja ke Ambon, Maluku, kelmarin.
Jakarta Post melaporkan, presiden itu dan rombongannya tidak memilih hotel lain yang lebih mewah di Ambon, dan memilih menginap di Hotel Amaris Ambon.
Pengurus hotel itu, Yance Lasa dipetik sebagai berkata presiden itu mendaftar masuk pada 13 Februari jam 9 malam, sementara mendaftar keluar keesokan harinya.
Yance berkata pengurusan hotel dimaklumkan tentang tempahan Jokowi, dua hari sebelum ketibaannya di Ambon.
“Ada permintaan khas iaitu kain telekung, minuman tertentu di dalam bilik dan peralatan lain. Semua permintaan itu hanya biasa-biasa saja, maka pengurusan hotel dapat menyediakannya,” katanya dipetik daripada Jakarta Post.
Bagaimanapun, hotel itu sendiri mengambil inisiatif untuk melakukan penambahbaikan di bilik mereka yang akan didiami presiden.
“Pak Jokowi turut bersarapan di sini, menikmati hidangan yang disediakan pihak hotel,” kata Yance.
Ini bukan kali pertama Jokowi dan isteri bersama rombongannya menginap di hotel yang sederhana ketika melakukan lawatan kerja.
Mereka pernah memilih bermalam di Hotel Jakarta Indah bertaraf dua bintang ketika ke Sumatera, dan juga sebuah hotel tiga bintang ketika berkunjung ke Sumatera Barat pada awal Februari lalu. – 16 Februari, 2018.
Komen