AS lulus suntikan dos penggalak kanak-kanak 5-11 tahun


FDA berkata suntikan dos penggalak bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun akan memberi perlindungan berterusan terhadap virus Covid-19. – Gambar AFP, 18 Mei, 2022.

PENTADBIRAN Makanan dan Ubatan (FDA) semalam umum kanak-kanak seawal usia lima tahun di Amerika Syarikat (AS) dibenarkan mengambil suntikan dos penggalak Covid-19 jenis Pfizer.

Pesuruhjaya FDA Robert Califf dalam satu kenyataan semalam berkata suntikan dos penggalak bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun akan memberi perlindungan berterusan terhadap virus Covid-19.

Pakar vaksin Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dijadual bermesyuarat esok bagi membincangkan isu ini.

Kanak-kanak akan diberi dos penggalak sekurang-kurangnya lima bulan selepas melengkapkan vaksinasi Covid-19.

FDA meluluskan suntikan dos 10 mikrogram vaksin Pfizer bagi kanak-kanak, iaitu lebih kurang berbanding 30 mikrogram bagi kanak-kanak berusia 12 tahun keatas.

Pihak berkuasa kesihatan itu meluluskan pemberian dos penggalak untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun susulan peningkatan kes Covid-19 di AS, dengan angka harian kira-kira 90,000 kes.

Menurut data CDC, daripada 28 juta kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun di AS, seramai 4.8 juta daripada mereka dijangkiti Covid-19 manakala 320 meninggal dunia akibat virus itu setakat ini. – AFP, 18 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen