SEORANG remaja bermasalah mengaku menembak mati 17 orang di bekas sekolahnya di Florida menurut dokumen mahkamah semalam, ketika FBI mengakui menerima petunjuk tentang penembak berusia 19 tahun itu tetapi gagal menghalangnya.
Ketika rakyat Amerika masih bergelut untuk melupakan pembunuhan di sekolah terburuk negara itu sejak kejadian di Sandy Hook enam tahun lepas, Presiden Donald Trump mencadangkan punca keganasan itu adalah krisis kesihatan mental seterusnya menidakkan gesaan untuk pengawalan senjata api.
Pelajar dan kakitangan sekolah yang ketakutan bersembunyi dalam loker dan bawah meja pada Rabu di Marjory Stoneman Douglas High School di Parkland dan panik menghantar mesej meminta bantuan ketika penyerang, Nikolas Cruz melepaskan tembakan dalam kawasan sekolah menggunakan senapang patah separuh automatik AR-15.
Cruz didakwa atas 17 pertuduhan membunuh dengan niat muncul di depan hakim menerusi video secara langsung tengahari semalam yang mengarahkan dia ditahan tanpa ikat jamin. Berpuluh orang lagi cedera dalam kejadian tembakan itu.
“Hari ini adalah hari penyembuhan. Hari ini adalah hari perkabungan,” kata Sherf Broward Country Scott Israel.
Selepas hak perundangannya dibaca, “Cruz mengatakan dia adalah penyerang yang memasuki kawasan sekolah lengkap bersenjata AR-15 dan mula menembak pelajar yang dia lihat berada di kawasan lapang sekolah,” kata dokumen mahkamah itu lagi.
Cruz juga mengakui yang dia membuang senjata- yang dibelinya secara sah di Florida- untuk menyamar masuk dalam kumpulan pelajar lain sebelum keluar dari kawasan sekolah.
Selepas tembakan itu, dia berhenti di Wal-Mart dan McDonald’s, Israel memberitahu wartawan. Dia ditahan 40 minit kemudian selepas polis mengenalpastinya melalui video keselamatan sekolah.
Dalam ucapan disiarkan ke seluruh negara selepas kejadian ke-18 tembakan di sekolah tahun ini sahaja, Trump berikrar menjadikan kesihatan mental satu keutamaan dan mengelak bercakap mengenai kawalan senjata.
Cruz dibuang sekolah kerana masalah displin dan dikenali sebagai individu yang taksub dengan senjata api, malah pernah dilaporkan berpotensi mencederakan rakan sekelasnya.
Pihak berkuasa AS kini dikecam hebat selepas FBI mengesahkan ia menerima petunjuk September lepas menerusi mesej ditinggalkan di YouTube apabila seorang pengguna dengan nama Nikolas Cruz menulis: “Saya akan jadi penembak profesional sekolah.”
Dalam satu kenyataan, FBI mengatakan ia menjalankan “semakan pangkalan data dan semakan lain” tetapi gagal mengesan individu yang menulis komen itu.
Rakan sekolah yang mengenali Cruz menulis tentangnya dalam talan dan semalam Anti-Defamation League melaporkan yang dia adalah ahli kumpulan pelampau kulit putih dan terlibat dalam latihan ala tentera.
Lima belas orang terbunuh di sekolah, dua lagi ketika dirawat di hospital.
Sejak Januari 2013, terdapat sekurang-kurangnya 291 kejadian tembakan di sekolah di seluruh negara- puratanya satu kejadian setiap minggu- menurut kumpulan pemantau Everytown for Gun Safety.
“Sangat jelas yang kita gagal melindungi anak-anak kita,” kata Melissa Falkowski, seorang guru yang memasukkan 19 pelajarnya ke dalam sebuah bilik sempit di sekolah itu bagi melindungi mereka. – AFP, 16 Februari, 2018.
Komen