Taib Mahmud gesa Putrajaya perkukuh keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan


Desmond Davidson

Gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud hari ini menyeru Putrajaya bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi mengukuhkan keselamatan sempadan Sarawak-Indonesia. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Mei, 2022.

GABENOR Sarawak Abdul Taib Mahmud hari ini menyeru Putrajaya bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi mengukuhkan keselamatan di sempadan negeri.

Gesaannya dibuat ketika pembatalan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu bernilai RM300 juta di Tebedu, dan kemasukan secara haram pendatang melalui sempadan daratnya.

Dalam ucapannya merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, Taib berkata keselamatan rakyat Sarawak dan sempadan yang selamat penting untuk kedaulatan negara.

Beliau juga menggesa kerajaan persekutuan “memperhebatkan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan rentas sempadan kami”.

Dengan itu, Gabenor Sarawak berkata, keselamatan sepmadan dan penduduk tidak akan terancam apabila Sarawak bergerak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Pentadbiran Barisan Nasional Najib Razak telah bersetuju untuk menggantikan pejabat imigresen yang usang dengan kos yang akan dikongsi sama rata antara Putrajaya dan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, cadangan itu dibatalkan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada Mei 2018.

Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) ketika ini masih belum memutuskan permohonan Sarawak untuk meneruskan projek tersebut.

Tidak seperti kemudahan usang di sebelah Sarawak, Indonesia sebaliknya mempunyai kemudahan ICQS moden yang mengagumkan di sebelah sempadan di Entikong.

Walaupun keselamatan sempadan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, Sarawak terpaksa membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membeli aset yang sesuai untuk melengkapkan pasukan keselamatan sempadan supaya dapat menangkap pendatang tanpa izin.

Unit polis dan tentera yang menjalankan tugas keselamatan sempadan melalui Ops Benteng telah memasang sekatan jalan di jalan raya dari sempadan.

Mengenai usaha negeri itu untuk meneroka idea baharu untuk ekonominya, Taib berkata ekonomi hidrogen akan menyumbang ketara kepada kesejahteraan ekonomi Sarawak apabila ia mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil tradisional untuk menjana industrinya.

Taib berkata beliau gembira dengan Premier Abang Johari Openg kerana telah memperkenalkan inisiatif bahan api hidrogen untuk mengubah ekonomi negeri menjelang 2030. – 16 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen