Rusia akan bertindak balas perluasan Nato ke Sweden, Finland


Presiden Rusia Vladimir Putin bimbang Nato dijadikan sebagai alat dasar luar oleh sebuah negara secara sangat agresif. – Gambar EPA, 17 Mei, 2022.

PRESIDEN Rusia Vladimir Putin pada Isnin berkata Moscow akan bertindak balas sekiranya Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menempatkan infrastruktur ketenteraan di wilayah Finland atau Sweden, lapor Xinhua.

“Perluasan infrastruktur ketenteraan ke wilayah ini pasti mencetuskan tindak balas kami, bergantung kepada bentuk ancaman terhadap Rusia. Nato dijadikan sebagai alat dasar luar oleh sebuah negara secara sangat agresif,” kata Putin pada sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif di Moscow.

Beliau menegaskan keadaan itu akan mendatangkan kesan buruk ke atas keselamatan antarabangsa.

Finland dan Sweden mengumumkan keputusan memohon keanggotaan Nato.

Pada Ahad, presiden Finland dan jawatankuasa dasar luar kerajaan mengambil keputusan memulakan proses permohonan untuk menjadi anggota Nato.

Sementara itu, Perdana Menteri Sweden Magdalena Andersson pada Isnin turut mengumumkan keputusan negara itu memulakan proses permohonan menjadi anggota Nato. – Bernama, 17 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen