JENNIFER Aniston dan Justin Theroux berpisah selepas dua tahun berkahwin, kata satu kenyataan kepada AFP semalam.
Pasangan itu yang mendiami sebuah rumah mewah di kejiranan elit Bel Air di Los Angeles bertemu ketika menjalani penggambaran filem Tropic Thunder di Hawaii pada 2008 dan mula menjalinkan hubungan pada 2011.
“Dalam usaha mengurangkan spekulasi panjang, kami memutuskan untuk mengumumkan perpisahan kami,” kata pasangan itu dalam kenyataan dikeluarkan publisis Aniston, Stephen Huvane.
“Keputusan ini dibuat secara bersama pada akhir tahun lepas. Kami adalah rakan baik yang memutuskan untuk tidak lagi berpasangan tetapi masih mahu meneruskan persahabatan kami.”
Kenyataan itu mengatakan proses perpisahan akan dilakukan secara tertutup, tetapi mahu memastikan peminat mereka tahu, “memandangkan gosip industri tidak dapat mengelak membentuk dan mencipta spekulasi.”
“Apa sahaja yang ditulis tentang kami yang bukan daripada kami secara langsung adalah naratif ciptaan orang lain. Paling utama kami mahu mengekalkan perasaan hormat dan sayang antara satu sama lain,” katanya.
Ia adalah perkahwinan kedua untuk bintang siri Friends itu, yang sebelum ini pernah mengahwini Brad Pitt pada 2000.
Aniston dan Pitt bercerai pada 2005 selepas Pitt mengadakan hubungan dengan Angelina Jolie ketika penggambaran filem Mr and Mrs Smith.
Theroux (Miami Vice, The Girl on the Train) pula tidak pernah berkahwin sebelum bertemu Aniston. – AFP, 16 Februari, 2018.
Komen