Taliban janji 'berita baik' pendidikan kanak-kanak perempuan


Pada akhir Mac, Taliban, yang mengambil alih kuasa selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara itu Ogos lalu, menutup sekolah tinggi dan kolej untuk kanak-kanak perempuan hanya beberapa jam selepas dibuka semula. – Gambar EPA, 16 Mei, 2022.

MENTERI dalam negeri Afghanistan telah menabur janji “berita yang sangat baik” mengenai kembalinya kanak-kanak perempuan ke sekolah, dalam wawancara dengan CNN pada Isnin.

Pada akhir Mac, Taliban, yang mengambil alih kuasa selepas tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari negara itu Ogos lalu, menutup sekolah tinggi dan kolej untuk kanak-kanak perempuan hanya beberapa jam selepas dibuka semula.

Arahan itu dibuat oleh Hibatullah Akhundzada, pemimpin tertinggi Taliban dan kerajaan negara itu, menimbulkan kemarahan ramai rakyat Afghanistan dan masyarakat antarabangsa.

“Saya ingin berikan sedikit penjelasan. Tidak ada sesiapa yang menentang pendidikan untuk wanita,” kata Menteri Dalam Negeri Sirajuddin Haqqani, salah seorang pemimpin Taliban yang paling berahsia dan hanya menunjukkan mukanya di khalayak ramai buat kali pertama pada Mac.

Beliau berhujah kanak-kanak perempuan sudah boleh pergi ke sekolah rendah. “Selain itu akan ada mekanisme untuk membolehkan kanak-kanak perempuan menghadiri sekolah menengah, katanya dalam wawancara pertamanya di televisyen.

“Tidak lama lagi anda akan dengar berita yang sangat baik mengenai isu ini,” katanya.

Haqqani membayangkan “mekanisme” itu dikaitkan dengan kod pakaian sekolah, menjelaskan pendidikan harus berdasarkan “budaya” Afghanistan dan “peraturan dan prinsip Islam,” selain merujuk “lebih luas” kepada isu wanita memakai tudung.

Selepas kembali berkuasa, Taliban menuntut wanita memakai sekurang-kurangnya tudung, selendang menutup kepala dan boleh mendedahkan muka.

Namun sejak awal Mei, mereka sebaliknya memaksa pemakaian tudung penuh di khalayak ramai dan sebaik-baiknya burqa, yang telah diwajibkan semasa mereka mula-mula mentadbir negara antara 1996 dan 2001. – AFP, 16 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen