SEORANG daripada dua kembar Siam dari Yaman yang dilanda perang meninggal dunia selepas pembedahan rumit selama 15 jam untuk memisahkan mereka, lapor media kerajaan Arab Saudi pada Isnin.
Bayi lelaki berusia 19 bulan, Yussef dan Yassin, “bercantum beberapa organ”, dan kira-kira 24 doktor terlibat dalam pembedahan itu, kata Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Pada pagi Isnin, SPA memuji prosedur itu sebagai kejayaan, tetapi laporan susulan pada malam Isnin mendedahkan seorang kembar meninggal dunia akibat tekanan darah jatuh dan kegagalan jantung, walaupun rawatan perubatan penuh disediakan untuknya.
Doktor berdepan kesukaran dan cabaran besar semasa proses pemisahan, yang menjadikan keadaan si mati kritikal selepas pembedahan, kata laporan itu sambil menambah kembar yang masih hidup berada dalam keadaan stabil.
Ia tidak menyatakan kembar mana yang hidup atau meninggal dunia.
Doktor pusat itu menjalankan pembedahan empat fasa yang memisahkan Yussef dan Yassin, menyifatkan ia sebagai “antara paling rumit” yang pernah mereka lakukan, kata SPA pada Isnin.
Julai lalu, doktor Arab Saudi memisahkan bayi dari Yaman daripada kembar parasitnya, berkata pada masa itu ia adalah pembedahan ke-50 mereka yang berjaya ke atas kembar siam.
Pada Disember satu pasangan kembar dipisahkan oleh doktor di ibu negara Jordan, Amman sebelum diterbangkan kembali ke Sanaa, menurut agensi kanak-kanak PBB.
Minggu lalu Raja Arab Saudi Salman mengarahkan supaya sepasang lagi kembar Siam perempuan dari Yaman bernama Mawaddah dan Rahmah, dipindahkan ke Riyadh “untuk menjalankan pemeriksaan perubatan dan memeriksa kemungkinan” pemisahan, lapor SPA. – AFP, 17 Mei, 2022.
Komen