AS tuduh doktor Venezuela jual perisian tebusan kepada penjenayah


Pejabat peguam daerah Brooklyn berkata doktor pakar Moises Luis Zagala, 55, menjual alat untuk menjalankan serangan perisian tebusan, melatih penyerang tentang cara memeras ugut mangsa, dan kemudian bermegah tentang serangan yang berjaya, termasuk mereka yang dikaitkan dengan kerajaan Iran. – Gambar EPA, 16 Mei, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) mendakwa seorang pakar kardiologi Perancis-Venezuela menjual perisian tebusan (ransomware) kepada penjenayah siber, termasuk mengajar mereka cara memeras wang daripada mangsa yang digodam.

Pejabat peguam daerah Brooklyn berkata Moises Luis Zagala, 55, yang menetap di bandar Ciudad Bolivar, Venezuela, “bukan setakat mencipta dan menjual produk perisian tebusan kepada penggodam, malah juga melatih mereka cara menggunakannya.”

Ia berkata doktor itu “menjual alat untuk menjalankan serangan perisian tebusan, melatih penyerang tentang cara memeras ugut mangsa, dan kemudian bermegah tentang serangan yang berjaya, termasuk mereka yang dikaitkan dengan kerajaan Iran.”

Perisian tebusan akan menyulitkan (encrypt) maklumat pada komputer yang telah digodam, kemudian penyerang akan meminta wang untuk menyahsulitnya (decrypt).

Salah satu produk pertama dibangunkan oleh Zagala ialah program rampasan data yang dipanggil “Jigsaw v. 2”, yang mempunyai kaunter “doomsday” yang menjejaki masa yang pengguna cuba musnahkan.

“Jika pengguna memusnahkan perisian tebusan terlalu kerap, maka jelas dia tidak akan bayar jadi lebih baik padamkan terus seluruh cakera keras,” Zagala mengarahkan pelanggannya, menurut pihak berkuasa AS.

Zagala didakwa bermegah dalam forum penggodam yang program Thanos-nya hampir tidak dapat dikesan oleh program antivirus dan apabila penyulitan selesai program itu akan memadam sendiri, menjadikannya hampir mustahil untuk mangsa mengesannya dan mendapatkan semula dokumen mereka.

Zagala juga meminta pelanggannya “jika anda mempunyai masa dan ia tidak terlalu banyak masalah” untuk menilai pengalaman mereka dalam talian.

Jika didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara 10 tahun. – AFP, 16 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen