Hampir seluruh Semenanjung dijangka ribut petir, hujan lebat petang ini, kata Jabatan Meteorologi 


Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran ribut petir di hampir seluruh Malaysia lewat petang ini dan dijangka berlaku hampir atau lebih sejam. Kebelakangan ini hujan luar biasa telah menyebabkan banjir di beberapa negeri termasuk di Lembah Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2022.

RIBUT petir dan hujan lebat dijangka melanda beberapa negeri di hampir seluruh Semenanjung Malaysia sehingga lewat petang ini, menurut amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia setakat 2 petang ini.

Amaran itu menunjukkan ribut petir dan hujan lebat di sebahagian besar Kedah, Perak dan Johor serta seluruh Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 6 petang.

Sementara itu, Pahang dan hampir seluruh Kelantan serta sebahagian Terengganu pula dijangka mengalami keadaan sama sehingga 7 petang.

Daerah Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang di Sarawak serta kawasan pedalaman dan pantai Sabah termasuk Tawau, Lahad Datu dan Kinabatangan juga diramal ribut petir dan hujan lebat.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran jangka pendek ini apabila ada tanda-tanda yang membayangkan ribut petir dengan kadar hujan melebihi 20 milimeter sejam. Keadaan itu berkemungkinan berlaku hampir atau lebih sejam.

Hujan lebat luar biasa yang berlaku sejak sekurang-kurangnya lima bulan lepas beberapa kali menyebabkan banjir kilat di beberapa negeri termasuk di Lembah Klang.

Beberapa kawasan di Kuala Lumpur mengalami banjir kilat terakhir pada 25 April. Banjir kilat juga baru-baru ini melanda daerah Janda Baik di Pahang. – 16 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen