SEORANG maut dan empat lagi “cedera parah” dalam kejadian tembakan di sebuah gereja berhampiran Los Angeles, kata penguatkuasa semalam, sehari selepas seorang penyerang menembak mati 10 orang di sebuah kedai runcit di New York.
“Empat mangsa cedera parah,” tulis Jabatan Sherif Orange County di Twitter. “Seorang mangsa maut di tempat kejadian.”
Seorang lagi mangsa cedera “ringan”, kata jabatan, menambah yang semua mangsa adalah orang dewasa.
Pihak penguatkuasa menerima panggilan kecemasan daripada Gereja Geneva Presbyterian pada jam 1.26 tengahari semalam.
“Kami sudah menahan seorang dan merampas senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian,” kata jabatan lagi.
Bomba Orange County di Twitter juga memaklumkan yang anggotanya dan paramedik berada “di tempat kejadian untuk merawat dan memindahkan mangsa.”
Gambar dikongsi di media sosial menunjukkan kenderaan kecemasan berada di luar gereja.
Pejabat Gabenor California Gavin Newsom berkata ia sedang bekerjasama dengan pegawai tempatan untuk memantau situasi semasa.
“Tiada sesiapa pun sepatutnya takut untuk pergi ke rumah ibadat mereka. Doa kami bersama mangsa,” tulisnya menerusi Twitter.
Ahli Kongres Katie Porter dari Demokratik yang mewakili Orange County di Washington menyifatkan tembakan itu sebagai “menganggu dan berita mengejutkan, terutama sekali ia berlaku sehari selepas tembakan massa di Buffalo.”
“Ini tidak sepatutnya jadi kelaziman baharu kita.”
Menurut jabatan sherif, gereja tersebut terletak di bandar Laguna Woods, 70km tenggara Los Angeles. – AFP, 16 Mei, 2022.
Komen