Shanghai umum pembukaan semula perniagaan secara berperingkat


Shanghai mengumumkan pembukaan semula perniagaan secara berperingkat selepas ibu kota itu terkesan akibat wabak Covid-19. – Gambar EPA, 16 Mei, 2022.

SHANGHAI mengumumkan pembukaan semula perniagaan secara berperingkat mulai hari ini walaupun masih tidak jelas bila berjuta-juta penduduk yang masih dikenakan perintah berkurung di ibu kota ekonomi China itu akan dibenarkan keluar dari rumah mereka.

Berdepan dengan Covid-19 yang paling teruk sejak permulaan wabak itu China - ekonomi utama terakhir yang masih ditutup kepada dunia - meletakkan bandar berpenduduk 25 juta itu di bawah sekatan berat pada awal April.

Strategi tegar untuk membasmi kes virus dalam apa jua keadaan mendatangkan masalah kepada rantaian bekalan, menghancurkan perniagaan kecil dan menjejaskan matlamat ekonomi negara.

Bagi kebanyakan penduduk Shanghai sebahagian daripada mereka sudah terkurung di rumah sebelum April menyebabkan mereka berdepan masalah bekalan makanan, akses kepada rawatan perubatan bukan Covid-19 dan pusat kuarantin sederhana selain ramai yang melepaskan kemarahan mereka di dalam talian.

Naib Datuk Bandar Shanghai Chen Tong semalam mengumumkan pembukaan semula perniagaan secara berperingkat mulai 16 Mei.

Chen bagaimanapun tidak menyatakan sama ada dia merujuk kepada penyambungan semula aktiviti secara berperingkat di bandar itu atau jika ia bersyarat pada kriteria kesihatan tertentu.

Di bawah strategi sifar-Covid China sebarang penarikan semula sekatan secara amnya bersyarat untuk tidak menyaksikan kes positif baharu selama tiga hari di luar pusat kuarantin.

Pihak berkuasa Shanghai menyasarkan matlamat ini pada pertengahan Mei.

Jangkitan nampaknya semakin berkurangan dengan 1,369 kes baharu dilaporkan semalam di Shanghai, jauh menurun daripada lebih 25,000 pada akhir April.

Bagaimanapun di beberapa kawasan di bandar ini sekatan diperketatkan sejak kebelakangan ini.

Kira-kira 1,200 kilometer ke utara penduduk Beijing bimbang mereka akan berdepan sekatan yang sama selepas lebih 1,000 kes direkodkan di ibu negara sejak akhir April.

Beijing berulang kali melakukan ujian terhadap penduduknya dan memerintahkan perintah berkurung selain menutup stesen metro serta perniagaan yang tidak penting di kawasan kejiranan tertentu susulan kes positif.

Dalam usaha untuk membendung wabak itu daerah Fangshan di barat daya Beijing yang mempunyai 1.3 juta penduduk menggantung perkhidmatan teksi mulai Sabtu.

Selain daripada beberapa kawasan kejiranan yang berada di bawah sekatan sebahagian besar daripadaa 22 juta penduduk Beijing masih boleh keluar dari rumah mereka.

Tetapi banyak tempat awam ditutup dan penduduk terpaksa bekerja dari rumah terutamanya di daerah Chaoyang yang ramai penduduk di mana banyak syarikat multinasional berpusat. – AFP, 16 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen