PRU14 soal hidup mati untuk MCA


Liow Sze Xian

Sekiranya prestasi terus buruk, masa depan akan jadi tak menentu, kata Timbalan Presiden Wee Ka Siong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2018.

SELEPAS kekalahan paling teruknya pada 2013, MCA perlu melakukan sehabis baik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang atau ia bakal berdepan masa depan yang sangat tidak menentu, kata Timbalan Presidennya Dr Wee Ka Siong.

Wee tidak berselindung apabila memberitahu The Malaysian Insight: Ia adalah pertempuran hidup mati MCA pada PRU14.

Katanya, MCA perlu mengekalkan tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi negeri yang dimenanginya pada PRU13.

“Bagi kami, ini adalah pertempuran hidup mati. Kami perlu ubah keputusan buruk dua pilihan raya lepas. Kami perlu baikinya,” kata Wee kepada The Malaysian Insight.

MCA adalah parti komponen kedua terbesar dalam gabungan pemerintah Barisan Nasional.

Jika parti itu tidak membaiki situasi sekarang atau kehilangan lebih banyak kerusi pada PRU14, ia akan berada dalam masa depan yang tidak menentu, kata Wee.

Walaupun enggan mengulas lanjut apakah yang dimaksudkan sebagai masa depan tidak jelas itu, Wee masih lagi optimis.

Katanya, pada pilihan raya lepas parti itu terjejas teruk.

Tetapi menilai bagaimana trend pengundi Cina dalam pilihan raya kecil selepas itu, beliau merasakan situasi MCA akan bertambah baik.

“Saya fikir masa susah sudah berlalu dan keadaan bertambah baik untuk kami. Persekitaran semasa secara relatifnya lebih baik berbanding pada 2013,” katanya.

Wee berkata ramai pengundi Cina terpengaruh dengan panggilan pembangkang “ini kalilah” untuk mengubah kerajaan pada pilihan raya lalu.

Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong percaya ramai pengundi Cina menyedari kesilapan mereka mengundi pembangkang dan mendapati suara mereka di peringkat kerajaan Persekutuan dilemahkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2018.

“Tetapi pembangkang tidak menang dan bentuk kerajaan dan ramai orang Cina menyedari yang mereka telah buat silap dan mendapati suara mereka dalam kerajaan dilemahkan,” katanya.

Wee mengatakan ramai pengundi Cina menyedarii yang parti itu, sebagai sebahagian daripada kerajaan Persekutuan berada pada kedudukan lebih baik untuk menyelesaikan masalah dihadapi komuniti.

Katanya, perkara itu tampak lebih jelas dalam urusan perniagaan.

“Apabila menyentuh soal kehidupan, kami berada pada kedudukan lebih baik untuk membantu komuniti menyelesaikan ketidakpuasan hati mereka,” katanya.

Wee merasakan pembangkang terutama pakatan DAP dengan PAS pada 2013 membuatkan ramai terpengaruh.

Katanya, ramai pengundi Cina merasa tertipu apabila memberikan undi mereka kepada parti Islam itu.

DAP dan PAS sudahpun memutuskan ikatan politik pada 2015 yang seterusnya membubarkan Pakatan Rakyat.

BN kini akan berdepan Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR, serta parti serpihan PAS, Amanah dan Bersatu.

Menyentuh mengenai Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH, Wee berkata DAP sedang menggunakan ahli politik veteran itu untuk meraih undi orang Melayu luar bandar.

“Tetapi, apa akan jadi jika orang Cina terpengaruh dengan tindakan mereka tetapi PH gagal menakluk Putrajaya?”

Beliau juga mengatakan MCA memerlukan pengundi muda Cina seperti mana pembangkang juga memerlukan mereka.

“Ramai pengundi pertama kali tidak tahu bagaimana Malaysa di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

“Mereka mungkin tertarik. Tetapi mereka tidak ada memori mengenainya,” kata Wee mencadangkan lebih baik mereka kekal dengan situasi semasa dan mempercayai BN di bawah pentadbran Najib Razak. – 16 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kalau MCA nak kekalkan kemenangan majoriti dgn lebih besar lg, mmg tggjwb mereka perlu jadikan manifesto PRU-14 ni sbg yg terbaik dlm mengutamakan nsb rakyat di samping mengetengahkan calon yg berwibawa & berkredibiliti

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan