Switzerland mengundi referendum derma organ automatik


Switzerland mahu meminda undang-undang membolehkan semua rakyatnya menjadi penderma organ secara automatik selepas kematian. – Gambar AFP, 15 Mei, 2022.

SWITZERLAND mengundi hari ini untuk meluluskan inisiatif menggalakkan ketersediaan pemindahan organ dengan menjadikan semua rakyatnya sebagai penderma organ kecuali mereka dengan jelas membantahnya sebelum kematian.

Perubahan perundangan itu yang menurut tinjauan akan diterima akan menjadi perubahan besar berbanding sistem sedia ada.

Pada masa sekarang, pemindahan organ hanya dapat dilakukan jika penderma memberi kebenaran ketika masih hidup.

Tetapi walaupun tinjauan mendapati 80% rakyat negara itu menyokong idea derma organ, hasrat si mati selalunya tidak diketahui waris.

Dalam kebanyakan kes, keputusan perlu diputuskan waris yang kebanyakannya menentang pendermaan organ dilakukan.

Ini menyebabkan ramai pesakit menunggu organ yang sesuai untuk mereka dalam tempoh masa lebih lama.

Pada akhir 2021, lebih 1,400 pesakit menunggu organ untuk didermakan di negara itu yang mempunyai jumlah penduduk seramai 8.6 juta orang.

Tahun lepas, 166 penderma mendermakan organ mereka dan 484 organ dipindahkan kepada pesakit.

Tetapi 72 orang pesakit meninggal ketika menunggu organ yang sesuai untuk mereka.

Dalam usaha menangani isu itu, kerajaan dan parlimen mahu mengubah undang-undang semasa kepada model “kebenaran diandaikan diberikan”, yang sudah diguna pakai di beberapa buah negara lain di Eropah.

Menurut sistem itu, mereka yang tidak mahu menjadi penderma organ selepas kematian perlu menyatakan hasrat itu secara terang-terangan.

Mereka yang tidak menyatakan hasrat itu diandaikan bersetuju menjadi penderma.

Bagaimanapun, waris masih berhak membuat keputusan akhir.

Dalam pelan dicadangkan kerajaan, waris boleh menolak jika mereka mengetahui atau mengesyaki si mati tidak mahu menderma organ.

Jika tiada waris dapat dihubungi, pemindahan organ tidak akan dilakukan.

Bagaimanapun tidak semua bersetuju dengan pelan itu.

Kumpulan diketuai bidan dan doktor dengan sokongan ahli agama dan perundangan, serta kumpulan populis berhaluan kanan sudah berjaya mengumpul tandatangan mencukupi bagi membantah referendum itu. – AFP, 15 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen